KERAJAAN Sarawak memperuntukkan geran pendidikan berjumlah RM10 juta kepada Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak untuk tahun ini (2022).

Ia merupakan geran pendidikan yang kesembilan oleh Kerajaan Sarawak kepada 14 sekolah Cina di Bumi Kenyalang.

Geran pertama diterima pada 2014 berjumlah RM3 juta, dan menyaksikan kenaikan geran sebanyak RM1 juta setiap tahun sehingga kini.

Dalam tempoh lapan tahun berturut-turut, sejumlah RM52 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Menengah Cina Persendirian Sarawak tersebut.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi membantu anak Sarawak yang mendapat pendidikan di sekolah Cina, termasuk anak kaum bumiputera.

Inisiatif yang dilaksanakan tersebut jelas membuktikan Kerajaan Sarawak komited ke arah pembentukan modal insan berkualiti melibatkan semua kaum di Sarawak.

Selain itu, Kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai insiatif lain bagi membantu anak watan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Antara insiatif tersebut termasuklah pemberian biasiswa kepada pelajar menerusi Yayasan Sarawak terutama bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Ia inisiatif Kerajaan Sarawak membantu serta memberi peluang kepada rakyat di semua peringkat menerusi penubuhan Yayasan Biasiswa UTS dengan setiap penerima akan mendapat RM10,000.

Inisiatif berkenaan tidak terhad kepada bumiputera sahaja kerana objektif penubuhannya adalah membantu semua anak-anak Sarawak tanpa mengira bangsa dan taraf pendidikan.

Dalam pada itu, Sarawak juga menyediakan peruntukan tambahan RM750,000 bagi membiayai yuran pengajian 50 pelajar dari keluarga golongan B40, untuk melanjutkan pengajian selama empat tahun di UTS tahun ini.

Menerusi tambahan peruntukan tersebut, pelajar yang datang dari seluruh kawasan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Selain itu, Sarawak turut memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi membantu pelajar membayar balik pinjaman pendidikan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Peruntukan itu merupakan tambahan kepada RM30 juta yang diperuntukkan sebelum ini pada 2020 yang memberi insentif kepada pelajar Sarawak yang telah membayar balik sekurang-kurangnya 30 peratus pinjaman PTPTN.

Sementara baki sebanyak 30 peratus pinjaman pelajar akan diselesaikan oleh Yayasan Sarawak melalui peruntukan yang disalurkan Kerajaan Sarawak.

Suara Sarawak