LAWAS: Perancangan pembangunan di daerah ini akan dapat direalisasikan jika Datuk Henry Sum Agong kekal menjadi jambatan antara Kerajaan Sarawak dan Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata penyandang Parlimen Lawas itu perlu terus diberikan mandat, kerana begitu banyak perancangan pembangunan yang telah dirangka bagi memajukan kawasan berkenaan.

“Di bawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), kita akan teruskan pembangunan lapangan terbang, jadi anda di sini akan mempunyai lapangan terbang yang lebih besar atau lebih kurang sama dengan Limbang.

Abang Johari (tengah) melakukan simbolik perasmian Program Sarawakku Sayang di Long Tuma, Lawas sambil disaksikan Awang Tengah (dua kiri), Asfia (dua kanan), Henry (kanan) serta tetamu kehormat lain.

“Selain itu, sudah ada pelaburan nak datang ke sini iaitu pelabuhan laut dalam sebab kawasan ini berdepan dengan teluk Brunei dan mempunyai laut yang dalam, bermakna banyak pembangunan di sini,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang di Long Tuma, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Henry, yang dikekalkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan Parlimen Lawas bagi PRU-15 pada 19 November ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata lebuh raya juga dirancang untuk dibina bagi menghubungkan antara Lawas dan Limbang, dengan menelan kos yang besar.

Abang Johari ketika disambut sebaik tiba bagi merasmikian Program Sarawakku Sayang di Long Tuma, Lawas.

Katanya pelaksanaan projek itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga tujuh tahun.

“Ini akan dihubungkan dengan Brunei dan juga terus ke Miri sehingga ke Marudi dan Long Terawan, termasuk Gunung Buda yang menghubungkan Limbang dan kita akan berikan bekalan elektrik dan air.

“Bermakna anda ada dua jalan, ini masih dalam perancangan,” katanya.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata perancangan itu adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Sarawak ke arah 2030.

Suara Sarawak