BARU BIAN

BINTULU: Adun Ba’Kelalan, Baru Bian menuntut Petronas untuk menutup secara kekal Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSPG) susulan insiden yang meragut seorang nyawa dan mencederakan dua yang lain di Long Ugui, Lawas awal hari ini.

Baru juga menggesa pakar antarabangsa bebas yang berkelayakan untuk dibawa masuk ke negeri ini bagi membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas saluran paip yang telah merekodkan kebocoran dan letupan kelima sejak 2014.

“Petang ini, ketakutan penduduk yang tinggal dan bekerja berhampiran saluran paip tersebut menjadi kenyataan susulan insiden letupan yang meragut nyawa seorang mangsa.

“Sejak 2014, saya telah mendesak Petronas untuk menambah baik aspek keselamatan saluran paip, kerana terdapat sekurang-kurangnya lima insiden kebocoran dan letupan berlaku dengan yang terakhir pada September tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakyat terutama yang tinggal di sepanjang SSGP tidak boleh terus terdedah kepada risiko kematian dan kecederaan akibat kejadian seumpama itu, lebih-lebih lagi apabila Petronas sentiasa menyalahkan pergerakan tanah sebagai puncanya.

“Saya difahamkan daripada sumber bahawa kebocoran yang membawa kepada letupan itu mungkin berpunca daripada pergerakan tanah.

“Itulah alasan paling biasa diberikan Petronas sejak insiden lalu. Apa pun puncanya, kita tidak boleh membiarkan rakyat berisiko mati dan cedera akibat letupan yang berlaku,” katanya.

Baru juga menuntut Petronas untuk mendedahkan apa yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

“Selepas semua jaminan, kebocoran dan letupan masih berlaku. Saya tidak percaya bahawa saluran paip itu selamat dan meragui bahawa ia dibina mengikut piawaian keselamatan yang ketat,” katanya.

Ini adalah kali keenam SSPG merekodkan letupan.

Kejadian pertama melibatkan letupan di laluan antara Lawas dan Long Sukang pada 10 Jun 2014, diikuti kebocoran gas dan letupan pada 10 Januari 2018 yang membawa kepada pemindahan murid dari sekolah berhampiran, kebocoran gas di Long Segaman di Lawas pada 8 Mei 2019, dan letupan antara Long Kawa dan Ba Selulong di Ulu Baram pada 12 Januari 2020.

Pada September lalu, berlaku kebocoran di sekitar KP201 SSGP berhampiran Pa Berunut di Lawas yang menyebabkan Petronas mengisytiharkan Force Majeure (FM) berhubung bekalan gas ke fasiliti pengeluaran MLNG Dua di Kompleks Petronas LNG (PLC) di Bintulu.

Suara Sarawak