Bas tambang RM1 catat 6.3 juta penumpang sejak Mei 2020

KUCHING: Sebanyak 6.3 juta penumpang terkumpul direkodkan telah menggunakan bas tambang RM1 sejak diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak pada Mei 2020.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin memberitahu, pelaksanaan Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1.00 yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapat akses pengangkutan awam bandar yang lebih baik itu terbukti berjaya.

Bermula Mei 2020 hingga Disember depan kata Adun Senadin itu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM25.2 juta Bagi membiayai program bas tambang RM1 itu.

“Oleh itu, inisiatif yang melibatkan 11 syarikat bas beroperasi di 56 laluan di kawasan bandar Kuching, Samarahan, Miri, Sibu dan Bintulu terbukti sangat berjaya dengan jumlah penumpang terkumpul direkodkan adalah 6.3 juta sejak Mei 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Kementerian Pengangkutan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Jelasnya, usaha tersebut untuk menangani penurunan dalam penggunaan bas sejak beberapa dekad kebelakangan ini, sekali gus menggalakkan menaiki pengangkutan awam.

Suara Sarawak