BELIA Sarawak dinasihati untuk terus komited dan bergerak secara holistik dalam pembangunan di negeri ini.

Penerima Anugerah Belia Negeri Lelaki 2022, Afiq Fadhli Narawi berkata, penglibatan golongan belia sangat penting untuk memastikan agenda kerajaan dalam usaha memajukan negeri ini dapat dicapai.

“Jadi, harapan saya untuk belia Sarawak supaya mereka terus komited dan bergerak secara holistik dan bersama-sama membangunkan negeri ini dalam pelbagai sudut, termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan,” katanya.

Menjelas mengenai anugerah tersebut, beliau berasa gembira dan lebih bersemangat untuk terus berbakti, khususnya kepada belia dan masyarakat.

“Anugerah ini saya tujukan juga kepada ibu bapa dan belia yang selama ini bersama-sama dengan saya.

“Saya juga harap agar anugerah ini boleh menjadi inspirasi belia di Sarawak untuk lebih maju dan bersama-sama memacu kemajuan negara kita,” ujarnya yang juga Timbalan

Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia.

Sementara itu, penerima Anugerah Belia Negeri Wanita 2022, Sharnaz Saberi turut berkongsi perasaan teruja dan gembira apabila menerima anugerah tersebut.

“Saya berasa anugerah seperti ini dapat membawa lebih banyak belia terus bersemangat dan bekerja keras dalam pembangunan belia di Sarawak,” jelasnya.

Ditanya mengenai pandangan tentang hala tuju belia di Sarawak, Sharnaz memaklumkan mereka kini sedang berada pada landasan yang tepat.

“Seperti yang kita lihat ramai belia yang memberikan sokongan apa-apa program yang dianjurkan.

“Generasi muda kini sangat penting dan akan menjadi pewaris negeri ini,” tegasnya yang juga merupakan Pengasas merangkap Pengetua Pusat Muzik Prodigy.

Suara Sarawak