KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempersoalkan adakah Pakatan Harapan (PH) mampu untuk menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada Sarawak sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Sebelum ini, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan empat janji kepada Sabah, Sarawak jika mereka berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya kelak.

Antaranya adalah memperkasa Wilayah Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak; merapatkan jurang pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung; serta membela nasib orang asal Sabah dan Sarawak.

BERCAKAP… Abang Johari bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Porgram Sarawakku Sayang di Kampung Telaga Air, Kuching, hari ini.

Sehubungan itu, ditanya mengenai perkara tersebut Abang Johari dengan tegas mempersoalkan adakah PH boleh dipercayai selepas apa yang berlaku sepanjang pemerintahannya sebelum ini?.

“Saya bertanya kembali kepada anda, bolehkah anda mempercayai PH selepas apa yang berlaku sepanjang 22 bulan. Itu komen saya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Porgram Sarawakku Sayang di Kampung Telaga Air, Kuching, hari ini.

Merespon soalan mengenai kenyataan Anwar berhubung PH sentiasa terbuka untuk berbincang atau bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk (GPS) Abang Johari memaklumkan perkara tersebut akan diputuskan selepas keputusan PRU-15 kelak.

“Kita bertanding dahulu, baru tahu keputusan. Kalau belum bertanding macam mana kita tahu,” ujarnya.

Menjelas lanjut mengenai kain rentang (bunting) yang dipamerkan sempena PRU-15 yang tertulis ‘Abang Jo menang, Zahid Senang’ beliau memaklumkan bukan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tapi Abang Jo yang senang.

Suara Sarawak