KUCHING: Beberapa jalan utama membabitkan 12 Parlimen ditutup bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang berlansung esok.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam sidang media berkata, Parlimen yang terbabit adalah Limbang, Serian, Mas Gading, Kota Samarahan, Sri Aman, Saratok, Santubong, Petra Jaya, Bandar Kuching, Sarikei, Padawan, Miri, Lawas dan Kanowit.

Katanya, sebanyak 12 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah membuat persiapan untuk penutupan jalan tersebut.

Jalan yang ditutup adalah Jalan Penyiaran, Limbang bagi pusat penamaan calon di Dewan Suarah Limbang, Jalan Tangga ByPass Serian bagi pusat penamaan calon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, Jalan Lee Koi Chun bagi pusat penamaan calon di Dewan Suarah Bau.

Selain itu, Jalan Kampung Tanjung Bundong berdepan Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup untuk kelancaran proses penamaan calon.

Di Sri Aman, Jalan Resak menghala Jalan Main Bazaar ditutup untuk pusat penamaan calon Pejabat Daerah Sri Aman sementara di Saratok, Jalan Ong Ho san, Jalan Pembangunan dan Jalan Abu Talip ditutup untuk pusat penamaan calon Dewan Masyarakat Sri Krian.

Di Kuching, penutupan jalan membabit Jalan Kemahiran bagi pusat penamaan calon Parlimen Santubong, Dewan Sri Merpati, IKM Kuching, Jalan Duranta bagi pusat penamaan calon Parlimen Petra Jaya di Dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya dan penutupan Jalan Padungan (simpang masuk ke MBKS) dan Jalan Tan Sri Datuk William Tan
(simpang masuk ke MBKS) bagi pusat penamaan calon Parlimen Bandar Kuching di Dewan Masyarakat Padungan.

Penutupan jalan bagi pusat penamaan calon Parlimen Sarikei membabitkan Jalan Sentral-Jalan Repok, Jalan Wharf-Jalan Market, Jalan Sentral (Belakang Balai CPS), Jalan Nyelong-Jalan Repok, Jalan Nyelong ( Sebelah TM) Berdekatan Simpang Masuk Jalan Berek dan Jalan Getah ( Belakang MDS).

Sementara, IPD Padawan menutup laluan kiri dan kanan Jalan Kampung Siburan bagi pusat penamaan calon Pejabat Daerah Siburan.

Di Miri, Jalan Kuala Baram By Pass (menghala ke Permyjaya) bermula dari simpang Jalan limu ke simpang Jalan Tudan ditutup bagi pusat penamaan calon di Dewan Interim, ILP Miri.

IPD Lawas pula menutup jalan KM 1, Jalan Trusan Bypass Majlis Daerah Lawas bagi pusat penamaan calon di Majlis Daerah Lawas.

Sementara IPD Kanowit menutup Jalan Kanowit-Durin bagi pusat penamaan calon Pejabat Daerah Kanowit.

Suara Sarawak