SARIKEI: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Adin di sini berdepan detik cemas apabila kawasan sekolah itu dilanda banjir kilat, awal pagi tadi.

Difahamkan, ia mengakibatkan beberapa bangunan sekolah termasuk kelas pra sekolah, bilik pemulihan, bilik sakit dan dewan makan dinaiki air sehingga paras satu meter bermula jam 4 pagi.

Kakitangan SK Adin membersih perkarangan kelas yang dinaiki air, pagi tadi.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei Narudin Mahmudin, berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.30 pagi.

Menurutnya, kejadian itu disedari pegawal keselamatan bertugas sebelum memaklumkan kepada seluruh warga sekolah terbabit.

Anggota Bomba melakukan pemantauan di sekitar kawasan sekolah SK Adin yang dilanda banjir kilat.

“Paras air mencatat ketinggian hampir satu meter dan semasa pihak bomba tiba di lokasi, air telah menunjukkan trend menurun,” katanya ketika dihubungi.

Kejadian seumpama yang jarang berlaku itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan limpahan air sungai Sare berhampiran sekolah berkenaan.

Sesi pembelajaran sekolah yang mempunyai seramai 104 orang murid itu tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa.

Pada masa yang sama, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung Turut meluangkan masa melakukan tinjauan ke lokasi kejadian.

Mahmudin memberitahu, selain SK Adin, banjir kilat turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Bayong dan Kampung Seberang.

Suara Sarawak