IMBAS KENANGAN…Kontinjen Para Sukma Sarawak 2022 yang sekadar bergelar naib juara.

DEBAK: Proses bedah siasat kem Para Sukma Sarawak membabitkan semua acara sukan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Ketua kontinjen Mohamad Razi Sitam memberitahu, proses tersebut dilakukan bagi mencari dan mengenal pasti kelemahan yang berlaku dalam semua 10 acara sukan membabitkan pasukan terbabit.

Di samping dapat dijadikan penanda aras baharu untuk membentuk pasukan lebih mantap sebagai persediaan menghadapi Para Sukma Johor 2024.

“Kita akan melakukan bedah siasat bagi mengetahui punca disebalik kegagalan Kontinjen Para Sukma Sarawak meraih gelaran juara ke-14 pada temasya Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022 lalu,” ujar Razi kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Razi, pihaknya percaya jurulatih serta pegawai daripada pasukan terlibat sudah menyediakan laporan untuk tujuan tersebut.

Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti turut mengakui, pihaknya akan memulakan proses pencarian bakat atau atlet baharu bermula awal tahun depan.

Meskipun gagal merealisasi misi menjulang mahkota juara, Sarawak tetap berpuas hati ditempat kedua dengan memperoleh 146 pingat keseluruhan, 50 emas, 47 perak dan 49 pingat gangsa.

Suara Sarawak