KERAJAAN Sarawak kini memiliki sepenuhnya empat institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu pusat latihan bagi menggalakkan generasi muda menimba ilmu demi kemajuan negeri pada masa hadapan.

Antaranya Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS (iCats) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs).

Bahkan Kerajaan Sarawak turut mengambil alih aset Universiti Swinburne, mempunyai 100 peratus aset amanah Universiti Curtin, UTS di Sibu dan menaik taraf iCats sebagai kolej universiti serta meningkatkan Centexs sebagai pusat latihan.

Kesemua usaha yang dijalankan tersebut adalah inisiatif untuk membantu anak Sarawak melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Inisiatif berkenaan juga akan menjadi alternatif kepada pelajar Sarawak untuk meneruskan impian ke menara gading sekiranya gagal melepasi saringan Bahagian Kemasukan Pelajar IPT Awam (UPU) Kementerian Pengajian Tinggi.

Menerusi pemilikan IPTS di bawah seliaan Yayasan Sarawak itu, Sarawak kini memiliki IPT mencukupi untuk melahirkan modan insan berkualiti tinggi.

Ia bermakna peluang anak-anak Sarawak lebih cerah untuk menyambung pengajian apabila dahulu mereka hanya bergantung pada UPU di samping terdapat permohonan tidak berjaya selain jurusan ditawarkan bukan pilihan pelajar.

Tambahan lagi, pemilikan IPT serta pusat kemahiran dan teknikal yang dimiliki oleh Kerajaan Sarawak membolehkan pelajar di Sarawak tidak perlu lagi bergantung pada UPU.

Suara Sarawak