Abang Johari di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19
FOTO GHAZALI BUJANG

KUCHING : Bajet 2023 memperuntukkan RM1.12 bilion bagi mempergiatkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, pelabuhan dan infrastruktur sungai terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara projek utama yang dikenal pasti ialah pembinaan jalan ‘inner ring’ Kuching, pembinaan jalan Sibu Jaya ke Kong Yit Khim di Sibu, Jalan Pakan ke Ulu Kota (Fasa 3) termasuk Projek Jambatan (Fasa 1) bagi menggantikan tujuh jambatan sementara kepada struktur kekal.

“Projek lain termasuk menaik taraf Jalan Oya Sibu, kerja penambahbaikan Jambatan Sungai Limbang, Sungai Bunut No.2 dan jalan penyambung di Limbang,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, pembinaan beberapa projek infrastruktur utama yang menelan belanja berbilion ringgit sedang dilaksanakan dan dibiayai di bawah inisiatif Pembiayaan Alternatif seperti Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Lapangan Terbang Bukit Mambong dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching.

Tambah Abang Jo lagi, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai liputan 100 peratus bekalan air dan elektrik menjelang 2030, sejumlah RM26 juta diperuntukkan bagi projek penyediaan bekalan elektrik.

Dari jumlah tersebut, sejumlah RM12 juta bagi tujuan menggantikan bateri dan komponen sistem solar,” ujarnya.

“RM8 juta bagi tujuan penyediaan bekalan elektrik ke sekolah- sekolah yang belum disambungkan ke grid elektrik, RM4 juta bagi Additional Late Applicant Funds (ALAF), dan RM2 juta untuk Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (SARES).

“Manakala, RM125 juta diperuntukkan untuk bekalan air bersih yang melibatkan pelaksanaan beberapa projek di Serian, Betong, Sibu, Loji Batu Kitang dan Kuching,” katanya.

Selain itu, Program Bekalan Air Grid Sarawak menerusi Inisiatif Pembiayaan Alternatif juga akan diteruskan dengan jumlah RM900 juta pada 2023.

Ia melibatkan pelaksanaan beberapa projek besar di Loji Pembersihan Air Matang, bekalan air ke Batang Sadong dan Simunjan, penambahbaikan Loji Bayong, Loji Kapit serta bekalan air ke Pulau Bruit, Kanowit dan Tinjar dan pelaksanaan Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) Fasa 2.

Suara Sarawak