KUCHING: Sebanyak RM7.506 bilion dicadangkan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dalam Belanjawan Sarawak 2023, yang akan terus menjadi bajet berorientasikan pembangunan dan memfokuskan luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata daripada anggaran itu, RM4.540 bilion atau 60 peratus adalah untuk pembangunan di kawasan luar bandar.

“Anggaran ini telah mengambil kira komitmen kami untuk menyelesaikan pelaksanaan pelbagai projek yang sedang dijalankan, keupayaan kami untuk melaksanakan projek sepanjang tahun dan keutamaan kami untuk melaksanakan projek pemangkin, berimpak tinggi dan berjiwa rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023), 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abang Johari ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023), 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengenai Perbelanjaan Biasa 2023, Abang Johari berkata sejumlah RM10.797 bilion dianggarkan dengan RM3.997 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM6.8 bilion untuk peruntukan Akaun Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan projek.

Menjelas lanjut, beliau berkata perbelanjaan mengurus yang dianggarkan sebanyak RM3.997 bilion merangkumi RM938 juta atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan.

Selain itu, katanya RM1.508 bilion (38 peratus) untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.343 bilion (34 peratus) untuk geran dan bayaran tetap termasuk geran operasi kepada badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, pembayaran hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, biasiswa termasuk bantuan kewangan dan kebajikan, RM90 juta untuk perolehan aset dan RM118 juta untuk perbelanjaan mengurus lain.

Abang Johari juga berkata Belanjawan Sarawak 2023 dijangka menjana lebihan sebanyak RM238 juta berikutan unjuran hasil negeri sebanyak RM11.035 bilion untuk 2023 dan jumlah perbelanjaan biasa RM10.797 bilion.

“Ia akan terus menjadi belanjawan pengembangan yang melabur banyak dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata Sarawak dijangka memenuhi unjuran bajet menjelang akhir tahun ini.

Katanya Perbelanjaan Biasa bagi 2022 telah meningkat daripada RM10.646 bilion kepada RM10.706 bilion, peningkatan sebanyak RM60 juta atau 2.5 peratus.

“Sehingga 31 Oktober, RM7.862 bilion atau 73 peratus daripada Perbelanjaan Biasa telah dibelanjakan.

“Jumlah yang dibelanjakan itu terdiri daripada Perbelanjaan Mengurus RM2.912 bilion dan baki RM4.950 bilion untuk peruntukan ke Akaun Kumpulan Wang Pembangunan,” katanya.

Beliau juga berkata Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM5.263 bilion atau 69 peratus daripada jumlah bajet pembangunan RM7.609 bilion setakat Oktober tahun ini.

“Dengan pembukaan semula ekonomi dan normalisasi aktiviti ekonomi, perbelanjaan dijangka terus meningkat kerana momentum pembangunan terus meningkat menjelang akhir tahun,” katanya.

Suara Sarawak