BERA: Sebarang pembentukan kerajaan campuran hanya akan diketahui selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika mengulas mengenai desas desus pembentukan kerajaan campuran sekiranya tiada parti melepasi majoriti mudah.

“Kita tunggu lepas PRU, lepas keputusan dibuat baru kita tentukan sama ada kita bentuk kerajaan sendiri, kerajaan campuran semuanya selepas PRU.

“Yang pasti kita dalam pembentukan kerajaan baharu, kalau kita mampu bentuk kerajaan sendiri tanpa sokongan yang lain, tetapi tetap kita bekerjasama dengan parti di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita tak boleh tinggalkan rakan kongsi di Sabah dan Sarawak, tapi di Semenanjung kita tunggu dan lihat selepas PRU diumumkan keputusan dan ini adalah perkara besar dan perlu dapat persetujuan kepimpinan tertinggi parti untuk buat keputusan,” jelasnya.

Mengulas lanjut tambah Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera itu, beliau yakin BN berjaya melepasi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

“Saya harap sebab kita punya sasaran kita boleh cross 112 kerusi Parlimen bersama dengan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita boleh menawan 112 (kerusi Parlimen), kita tak tunggu lagi pembentukan kerajaan, sebab itu saya minta kepada pengundi memberikan undi kepada parti mewujudkan kestabilan,” jelasnya.

Bagaimanapun sekiranya, tiada majoriti mudah berjaya dicapai oleh mana-mana gabungan parti politik, negara akan berdepan hung parliament.

“Ini bermakna kalau kita lepasi majoriti mudah kita tak bermasalah lagi, kita boleh bentuk kerajaan.

“Kalau tidak (capai majoriti mudah), kemungkinan akan berlaku hung parliament dan bila hung parliament tentu sahaja akan wujud ketidakstabilan dalam negara kita,” katanya lagi.

Suara Sarawak