KUCHING: Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat mencadangkan agar pengundi diberi hak menukar kawasan pengundian mereka.

Jika cadangan ini diambil kira katanya, adalah tidak perlu untuk menetapkan cuti umum sehari sebelum hari pengundian sebenar.

“Cuma saya cadangkan agar pengundi diberi hak menukar kawasan mengundi sebagai supaya memudahkan para pengundi untuk merancang perjalanan mereka.’

BERCAKAP…Presiden Persekutuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Datuk Richard Wee Liang Chat.

“Usaha yang efektif ini sekali gus akan memudahkan pergerakan mereka dan menggalakkan masyarakat untuk turun mengundi,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai keperluan cuti umum khas pada 18 November ini.

Tambah beliau, kebanyakan pekerja juga tidak berada di kawasan (parlimen) mereka sendiri atas kekangan kerja.

“Situasi ini bukan seperti sambutan hari perayaan yang mana semua individu ramai mengambil keputusan untuk balik ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau percaya majikan pekerja mempunyai pertimbangan kendiri untuk membenarkan pekerja mereka turun mengundi mengikut tarikh ditetapkan.

“Saya rasa kebanyakan majikan akan menggalakkan kakitangan mereka untuk keluar mengundi juga.

“Majikan boleh mempertimbangkan untuk menjadikan hari pengundian sebagai hari cuti untuk kaki tangan dan menggalakkan mereka keluar mengundi,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak