Eric Tay (tengah) pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon GPS Parlimen Bandar Kuching di Pejabat SUPP Cawangan Kuching, Kuching, hari ini. Turut kelihatan Dr Sim (kanan) dan Lily Yong (kiri)

KUCHING: Bawa pembangunan dan harapan baharu untuk Parlimen Bandar Kuching dalam tempoh lima tahun akan datang merupakan antara manifesto calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bandar Kuching Eric Tay Tze Kok.

Menurut ahli perniagaan berusia 44 tahun itu, kawasan tersebut sudah dimenangi dan dikuasai oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) selama empat penggal berturut-turut, namun tiada sebarang perubahan yang berlaku.

“Selama 18 tahun bandar ini bukan sahaja gagal untuk membangun, tetapi sebaliknya semakin merosot dan tidak mencapai taraf perkembangan terkini.

“Justeru, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan masa untuk memilih sekali gus sebagai detik penting kebangkitan kerana Kuching merupakan ibu negeri Sarawak, pusat politik, ekonomi, kewangan, budaya, pendidikan serta mempunyai populasi bangsa Cina terbanyak,”katanya.

Eric berkata demikian pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon GPS Parlimen Bandar Kuching di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya beliau mempunyai sembilan manifesto tersendiri yang akan difokuskan untuk parlimen tersebut sekiranya terpilih.

“Ia termasuk merancang semula dan menaik taraf jalan raya bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, menyelesaikan masalah banjir kilat, menaik taraf klinik kerajaan dan membina dewan serba guna.

“Kemudian berusaha membina rumah penjagaan warga emas, sakit dengan harga yang berpatutan serta banyak lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Eric merayu kepada pengundi di parlimen tersebut untuk memberinya peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam tempoh lima tahun ini sekali gus merealisasikan visi membina Kuching baharu.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Ketua Pengarah Operasi PRU-15 Parlimen Kuching Datuk Lily Yong.

Suara Sarawak