PENYOKONG… Tiong Sii meluangkan masa bersama-sama penyokongnya di Dewan Sentral Sarikei.

SARIKEI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Huang Tiong Sii memberi jaminan akan terus menyumbang khidmat terbaik dalam memastikan pembangunan rakyat Sarikei terjamin.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan Sarikei terus mengecapi kemajuan.

Malah katanya, projek pembangunan berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan membukti Kerajaan GPS tidak mengabaikan rakyat.

“Justeru, bagi saya peluang lima tahun lagi, saya pastikan usaha pembangunan yang dilaksanakan terus dipergiatkan. Yang pasti, ini bukan cakap kosong dan saya telah membuktikannya sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan ini sejak enam tahun lalu,” katanya.

Dalam PRU-15, Tiong Sii menghadapi pertembungan satu lawan satu menentang calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Roderick Wong Siew Lead.

Parlimen Sarikei mempunyai seramai 54,687 orang pengundi.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama dengan lebih 600 penyokongnya sejurus selesai penamaan calon di Dewan Sentral Sarikei.

Suara Sarawak