SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu berintegriti, jujur dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab mengendalikan kes di Mahkamah Bumiputera Sarawak.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, KMKK adalah tulang belakang kerajaan yang memastikan agenda pembangunan kerajaan disampaikan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Tumpuan kita pada program kali ini adalah mengenai tanggungjawab dan peranan KMKK dalam melaksanakan tanggungjawab undang-undang yang diamanahkan Kerajaan Sarawak.

PESERTA… John Sikie bergambar bersama-sama peserta merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak.

“Program dua hari ini diadakan khas untuk KMKK yang baru dilantik dan bertujuan memberi pendedahan serta prosedur yang betul bagi mengendalikan kes mahkamah berlandaskan peraturan atau peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi KMKK Daerah Pakan dan Julau di sini, hari ini.

Sikie mengatakan, adalah wajar mereka yang diamanahkan untuk menjalankan peranan diberi pendedahan, kemahiran dan segala ilmu yang diperlukan secara berterusan.

“Mereka akan didedahkan melalui taklimat oleh penceramah Mahkamah Bumiputera sendiri tentang cara yang betul, teratur dan berlandaskan ordinan yang memberi kuasa kepada tuai rumah atau ketua masyarakat mengendalikan kes mahkamah di peringkat masing-masing.

“Justeru, adalah tepat pada masanya penganjuran program seperti ini yang bertujuan memberi pendedahan, meningkatkan pengetahuan dan kecekapan peserta mengendalikan kes mahkamah,” ujarnya.

Seramai 180 peserta terdiri daripada KMKK dari daerah Pakan dan Julau telah menghadiri seminar tersebut.

Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak Datu Michael Dawi Alli dan Temenggung Datuk Janggu Banyang turut hadir.

Suara Sarawak