SIBU: Impian Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lanang Wong Ching Yong untuk membina sebuah pusat akuatik bertaraf Olimpik di Sibu Jaya telah menjadi kenyataan setelah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju dengan cadangannya itu.

Cuma kini hanya tinggal nasibnya sahaja menentukan sama ada boleh menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekali gus merampas kerusi Lanang daripada penyandangnya Alice Lau Kiong Yien (DAP) yang menduduki kerusi itu selama 10 tahun.

Menurut Ching Yong, Abang Johari pada malam tadi (Isnin) ketika menghadiri program kempen pilihan raya GPS bersamanya dan calon Parlimen Sibu Clarence Ting Ing Horh di Ulu Sungai Merah telah mengumumkannya bersetuju dengan projek tersebut.

SIDANG MEDIA… Wong Ching Yong (tengah) bersama-sama dengan Chieng (kiri) dan Kelvin menunjukkan reaksi mereka kepada media pada sidang media tersebut.

“Ini berita baik bukan sahaja untuk penduduk Sibu Jaya tetapi penduduk Sibu,” katanya pada sidang media hariannya di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ching Yong berkata, projek yang menelan belanja sebanyak RM50 juta itu terdiri daripada kolam renang bersaiz olimpik dan kolam sukan terjun bertaraf antarabangsa.

“Saya bertemu Premier pagi semalam (Isnin) untuk menunjukkan draf projek itu sebelum beliau mengumumkannya pada malam tadi. Beliau juga mahu melihat lebih banyak Pandelela dan atlet bertaraf olimpik serta juara dunia dicungkil dari Sibu Jaya,” tegasnya.

Ujar Pengerusi SUPP Cawangan Dudong itu, beliau percaya dengan kemudahan tersebut, Sibu Jaya yang sudah mempunyai stadium bertaraf antarabangsa akan menjadi pusat sukan.

Beliau turut berkongsi satu lagi berita gembira bahawa Abang Johari telah bersetuju memberikan geran RM1 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina Citizen di Jalan Stabau untuk membina semula asramanya yang musnah dalam kebakaran pada 2020.

“Sebelum ini, sekolah tersebut telah berjaya mengutip sumbangan dari orang sebanyak RM160,000 tetapi ia tidak mencukupi. Premier Sarawak berkata timbalannya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian akan membuat proses lanjut yang perlu mengenai pemberian geran itu,” katanya.

Ching Yong sebelum ini berkata beliau akan memperjuangkan peruntukan RM1 bilion untuk pembangunan di kawasan Parlimen Lanang jika memenangi PRU-15 ini.

Cadangan membina pusat akuatik bertaraf Olimpik di Sibu Jaya adalah antara projek yang dirancangnya.

Beliau juga telah berjanji untuk mendermakan semua gaji Ahli Parlimennya kepada lima Sekolah Menengah Persendirian Cina di kawasan Parlimen Lanang dimana Sekolah Menengah Persendirian Cina Citizen adalah salah satu daripadanya.

Antara yang hadir pada sidang media itu ialah Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek dan Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Kelvin Kong.

Suara Sarawak