KUCHING: Kredibiliti Bahagian Betong sebagai lubuk dalam melahirkan pemain untuk acara sukan sepak takraw sememangnya tidak diperlu dipertikaikan lagi.

Bukti yang jelas dengan adanya bakat dari kawasan terbabit terutama pemain wanita yang berjaya menyerlah tatkala diberi peluang sama ada mewakili bahagian terbabit atau Sarawak.

Malah, ada kalangan bakat pemain dari bahagian berkenaan yang telah berjaya menicpta nama mewakili skuad kebangsaan seperti Nurasmida Ramli dan Suzana Mokthar.

BERBAKAT…Mohd. Rushdi (tengah) memerhati pemain semasa latihan.

Dua pemain terbabit berjaya mencetus aura tersendiri apabila meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang berlangsung di Perak.

Segala bakat yang lahir ini hasil daripada Program Pembangunan, yang kini dikenali dikenali Program Permulaan melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Di samping sentuhan hebat dua jurulatih tempatan yang juga anak jati kelahiran Betong iaitu Fitri Ramzee Ramlee (Jurulatih Program Permulaan/Program Cemerlang) dan Mohd. Rushdi Saini, jurulatih Program Permulaan.

“Terdapat dua pusat latihan di Bahagian Betong iaitu SMK Saratok untuk kem Program Permulaan/Program Cemerlang).

“Selain SMK Datuk Patinggi Kedit dan SMK Ulu Layar membabitkan pemain bagi Program Permulaan,” ujar Mohd. Roshdi kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Rushdi, sejak pengenalan program berkenaan pada tahun 2014 berjaya memperlihatkan keberkesannya.

Suara Sarawak