Adun Telang Usan Denis Ngau

KUCHING: Sebuah dewan serbaguna perlu dibina di Long Lama sebagai penempatan sementara untuk mangsa banjir dan bencana alam.

Adun Telang Usan Denis Ngau memohon Kerajaan Sarawak untuk membina dewan serbaguna tersebut kerana mangsa banjir ketika ini ditempatkan di balkoni surau Long Lama.

“Dewan Masyarakat Long Lama masih diguna sementara oleh Klinik Long Lama sebagai pusat operasi susulan kerosakkan klinik disebabkan tanah runtuh pada tahun 2019 yang belum dibaiki.

“Malah Dewan Masyarakat tersebut turut terjejas ketika pekan Long Lama ditenggelami air,” katanya dalam perbahasan Belanjawan Negeri 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam pada itu Denis berkata, beliau menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas kelulusan bajet membina benteng hakisan di Rumah Panjang Long Banyok, Baram, Rumah Panjang Long Watt dan Rumah Panjang Long Bemang Sg Apoh.

Justeru beliau memohon agensi pelaksana mengambil tindakan dengan kadar segera.

“Saya menyeru pihak berwajib untuk juga melihat kepada keadaan yang serupa di Rumah Panjang Long Selatong Tanjong Tepalit Ulu Baram,” katanya.

Sementara, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yakin Sarawak akan menerima sekurang-kurang lima juta pengunjung setahun ketika ini berdasarkan trend peningkatan rekod ketibaan pengunjung ke negeri ini.

Katanya, ketibaan pengunjung ke negeri ini dengan jumlah terakhir ialah 4.66 juta ketibaan pada 2019 sebelum Covid-19.

Suara Sarawak