KERAJAAN Sarawak mengambil langkah proaktif menubuhkan lima sekolah antarabangsa yang dibiayai sendiri demi menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat.

Sekolah pertama telah beroperasi di Petra Jaya, Kuching tahun ini manakala di Batu 12, Kuching sedang dalam pembinaan.

Di Sibu, sudah ada kelulusan untuk membuka tapak baharu, di Miri dan Bintulu pula dalam proses mencari tapak bersesuaian sementara di Petra Jaya, Kuching sudah menerima masuk 170 pelajar.

Kesemua empat sekolah antarabangsa itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua hingga lima tahun, namun bergantung pada proses perolehan tapak serta tender kerajaan.

Tenaga pengajar bagi sekolah tersebut pula disediakan oleh Jawatankuasa pendidikan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

Sementara itu, pembinaan sekolah tersebut merupakan tindakan strategik bagi memacu nilai pendidikan bertaraf antarabangsa demi masa depan anak Sarawak dengan mengguna pakai silibus diiktiraf di peringkat global.

Ia juga dibina bagi membolehkan pelajar cemerlang dari luar bandar dan bandar dan semua kaum, malah daripada keluarga berpendapatan rendah bersaing sesama mereka.

Suara Sarawak