ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) Melaka terpaksa berputih mata apabila tewas di semua enam kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Senario itu menyaksikan BN julung kalinya terlepas semua kerusi Parlimen apabila tiga kerusi di Parlimen Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka berada dalam genggaman Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor gajah berjaya menumbangkan calon pilihan BN iaitu Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.

PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperolehi majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua Umno bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali daripada BN yang hanya memperoleh 30,780 undi.

Dua lagi calon lain di Parlimen itu ialah Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang yang juga peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan ahli perniagaan, Mohd Azrudin Md Idris daripada PN.

Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.

PN Melaka turut membuat kejutan apabila penyandang kerusi parlimen itu di Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.

Turut mencuri tumpuan apabila dua wakil Pas yang bertanding atas tiket PN berjaya menawan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.

Suara Sarawak