MENJADI keutamaan setiap kali menjelang manamana pilihan raya ialah manisfesto.

Pernah ikut serta dalam kempen memperkenalkan calon wakil rakyat, saya pernah ditanya tentang manifesto.

“Manifesto apa yang kitak orang embak?” Tanya mak cik lingkungan usia 60-an.

Dia tidak faham apa yang dimaksudkan dengan manifesto. Cuma yang dia tahu dari dulu ialah janji pilihan raya.

“Sik kamek tauk apa nama manifesto ya, tapi bila datang musim berpilih, kamek salu dengar macam-macam janji YB.

Ya manifesto ka?” Tanyanya lagi inginkan kepastian dan penjelasan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, manisfesto ialah pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar (tujuan dan lain-lain) sesuatu parti politik sebelum pilihan raya dan sebagainya.

Untuk memudahkan lagi pemahaman, manifesto ialah apaapa perancangan daripada manamana parti yang bertanding sama ada di peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri ataupun pilihan raya kecil.

Lebih mudah untuk difahami, manifesto ialah segala janji-janji yang ditawarkan kepada pengundi dengan harapan dapat memikat hati, yang seterusnya akan memberikan undi kepada calon wakil rakyat.

Biasanya, manifesto akan dipersembahkan kepada rakyat sama ada sebelum atau selepas hari penamaan calon. Menjadi kebiasaan bagi kebanyakan parti politik, akan memperkenalkan manifesto selepas proses penamaan calon.

Selalunya, manifesto akan diumumkan oleh ketua parti, malah calon itu sendiri turut mengumumkan manifesto tambahan, yang disesuaikan dengan kawasan yang ditandinginya.

Dahulu, manifesto hanya akan diketahui apabila ada jentera pilihan raya parti mengedarkan risalah janji-janji pilihan raya dari rumah ke rumah.

Biasanya, ditaip di atas kertas saiz A4 berwarna putih.

Jika ada dua calon bertanding, akan ada dua kertas manifesto akan dihantar ke setiap rumah. Jika ada empat calon, maka akan ada empat kertas manifesto diterima.

“Baca kitak kertas tok kelak… jangan dibuang… jangan dipake mungkus belacan.”

Ini antara dialog yang pernah saya dengar dan ingat ketika ada orang politik datang ke rumah saya sekitar hujung 80-an.

Waktu itu memang saya tidak tahu maksud manifesto.

Saya masih di sekolah rendah. Pernah kertas janji-janji daripada orang politik itu saya lipat-lipat untuk dijadikan kapal terbang kertas ataupun pistol kertas.

Kehadiran teknologi moden sekarang telah memudahkan parti politik memperkenalkan manifesto masing-masing.

Hari ini, jika kita menaip perkataan manifesto pada ruangan enjin carian Google, akan ada banyak paparan tentang manifesto.

Bukan sahaja manifesto parti politik dalam negara, ada juga dipaparkan manifesto parti politik dari luar negara.

Malah, manifesto hampir semua pilihan raya di negara ini turut boleh didapatkan daripada Internet.

Dengan hari penamaan calon akan dilangsungkan pada 5 November ini, kini parti politik sedang berusaha menyiapkan manifesto masing-masing.

Akan ada paparan harapan mereka terhadap rakyat yang akan turun mengundi pada 19 November kelak.

Ini yang akan ditunggu-tunggu oleh pengundi.

Pun demikian, ada dalam kalangan rakyat semacam sudah mengetahui inti pati manifesto yang akan diperkenalkan kelak — ia berdasarkan ucapan demi ucapan pemimpin politik sama ada melalui televisyen ataupun secara langsung atau yang dikongsikan di media sosial.

Kitab suci

Hari ini, manifesto datang dalam pakej yang lengkap dan menyeluruh.

Tidak lagi dalam sehelai kertas, sebaliknya, hadir dalam sebuah buku, juga seperti majalah.

Warnanya juga menarik, sebagai daya tarikan kepada pembaca dalam kalangan pengundi. Memang benar, buku manifesto bukan kitab suci.

Kitab ialah buku suci (yang mengandungi perkara-perkara keagamaan seperti hukum, ajaran, dan lain-lain).

Ia tidak dapat dinafikan. Tetapi, buku manifesto boleh dianggap buku suci atau buku penting bagi mana-mana parti politik.

Tanpa buku ini, hala tuju sesebuah parti politik agak kabur — perjuangan untuk rakyat tidak jelas.

Selepas PRU-14, ada juga pihak yang tidak menolah buku manifesto sebagai kitab, atas alasan gagal menunaikan segala janji-janji dalam manifesto yang dicanang-canangkan sepanjang tempoh kempen.

Ini jelas dilihat selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas menang PRU-14 pada 2018.

Kata-kata Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menarik untuk dibaca: “Atas sebab-sebab tertentu, kita tidak dapat patuhi manifesto. Kita perlu ingat, manifesto bukan kitab suci, ia hanya panduan.”

Peribahasa Melayu ada menyebut, kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya. Maksudnya, janji yang sudah diucap mestilah ditepati, kerana harga manusia terletak pada janjinya itu.

Jadi, janji-janji yang dihambur untuk meraih undi pada tempoh kempen pilihan raya harus ditepati dan dilunaskan.

“Janji jangan dicapati!” Jika dianggap sekadar sebagai kata-kata ketika kempen untuk meraih undi, tindakan ini seperti menipu rakyat.

Sebabnya, rakyat memberikan undi mereka setelah tertarik dengan janji, dengan harapan dapat menikmati apa-apa faedah yang dijanjikan.

Tanda pangkah yang dilakar pada kertas undi bermakna rakyat atau pengundi yakin wakil yang dipilih itu mampu menunaikan segala janji — jika tidak semua, sekurang-kurangnya ada janji itu dilunaskan.

Jadi, mana-mana parti politik yang menawarkan janji-janji dalam buku manifesto selepas ini, harus memastikan ia dilaksanakan sebaik sahaja disahkan menang pada 19 November (malam) kelak.

Atas sebab itulah, manifesto dirancang dengan begitu teliti hasil banyak mesyuarat dan perbincangan pada banyak peringkat yang mengambil kira banyak perkara, terutama implikasi kewangan jika dibenarkan oleh rakyat mengambil alih kerajaan kelak.

Pengundi pula harus menilai betul-betul segala inti pati manifesto yang ditawarkan oleh mana-mana parti politik.

Jangan termakan janji atau kata-kata manis yang dihamburkan oleh calon yang bertanding.

Lihat keupayaan pakatan parti politik yang benar-benar mampu melaksanakan segala janji.

Sudah banyak peristiwa boleh dijadikan pengajaran bagi memastikan pengundi lebih matang menilai manifesto.

Awas, jika tersilap penilaian, padah menanti 1,825 hari selepas 19 November 2022!

Suara Sarawak