ADA pelbagai gelaran calon dalam pilihan raya; veteran, junior, muka baharu, “heavyweight”, underdog, calon payung terjun, calon bebas, calon boleh menang dan yang popular, calon “giant killer”.

Muka baharu tidak semestinya junior, kerana ada calon dua penggal yang baru berusia 38 tahun.

Dan ada calon muka baharu (junior) yang sudah pun berusia pertengahan 50-an.

Calon “heavyweight” pula merujuk kepada nama besar, yang sudah pun mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi. Misalnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun, di Perak, menentang penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang Timbalan Presiden Bersatu daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-14, Ahmad Faizal menang di Tambun dengan majoriti 5,320 undi yang bertanding atas tiket PH, menggunakan logo PKR.

Anwar pula, pada PRU-14 menang di Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi.

Dalam konteks Sarawak, antara calon “heavyweight” yang bertanding sebelum ini dan bakal terus berjuang ialah Baru Bian (PSB), Chong Chieng Jen (DAP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (PBB) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (PBB).

Manakala “giant killer” ialah calon kurang ternama, yang berjaya menumbangkan calon “heavyweght”.

Misalnya, Presiden PAS, Hadi Awang tewas dua kali kepada calon BN, Abdul Rahman Bakar pada PRU 1986 dan PRU 2004.

Pada PRU 2004, Hadi kalah dengan majoriti tipis, 163 undi.

Ketika itu Rahman Bakar meraih 28,076 undi dan Hadi Awang memperolehi 27,913 undi.

Yang pasti, pelbagai ciri calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diketengahkan pada hari penamaan calon Sabtu ini, dan ada yang sudah pun diketahui sebelum Sabtu.

Ada dua versi calon pilihan.

Pertama, pilihan pucuk pimpinan parti, dan kedua, pilihan akar umbi.

Namun biasanya pilihan pucuk pimpinan tertinggi, juga bergantung kepada tahap sokongan akar umbi.

Bagaimanapun, ada juga calon yang kurang mendapat sokongan akar umbi, tetapi menjadi pilihan pucuk pimpinan parti, dan ada calon pilihan akar umbi, tetapi tidak berkenan pada kaca pucuk pimpinan.

Yang pasti, pimpinan tertinggi parti mempunyai kata pemutus.

Walau apa-apa pun versi, yang penting calon pilihan ini, ialah calon “pilihan pengundi” pada 19 November nanti, dan lebih penting, berupaya memberi perkhidmatan ‘tip top’ kepada rakyat di kawasannya sepanjang empat hingga lima tahun selepas PRU-15.

Pemilihan calon juga mengambil kira situasi dan keadaan landskap politik sesuatu kawasan, sama ada hitam, kelabu, ataupun putih. Sesebuah parti tidak akan meletakkan calon sembarangan di kawasan yang boleh mereka menangi, atau dalam erti kata mudah, kawasan menang tipis atau kalah tipis pada pilihan raya lalu.

Kebiasaannya pengundi berpengalaman atau pengundi tegar sudah pun mempunyai pilihan masing-masing, sebaik Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Golongan ini berpegang teguh kepada parti, yang sudah pun mengukuh dalam sanubari mereka.

Jadi soal calon, hanyalah perkara kedua, kerana apa yang lebih penting, ialah memastikan parti pilihan mereka akan terus menabur bakti.

Bagaimanapun, bagi parti yang bertanding, walaupun sudah dominan dalam pilihan raya lalu, mereka tidak memandang mudah tentang calon yang akan mewakili logo mereka walaupun di kawasan putih.

Ia kerana maruah dan integriti parti harus dipelihara.

Lebih-lebih lagi pada PRU kali ini, dianggap sebagai paling mencabar dalam sejarah pilihan raya negara, terutama di Semenanjung.

Namun senario ini sukar untuk berlaku di Sarawak, mengambil kira sokongan rakyat terhadap parti pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Disember tahun lalu, yang menang besar, menawan 76 kerusi daripada 82 yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, dengan perubahan landskap pengundi, ekoran ‘gelombang Undi 18’, ia turut mempengaruhi pemilihan calon.

Tidak lagi terlalu bergantung kepada barisan calon yang menjadi taruhan dalam beberapa siri pilihan raya lalu.

Pertambahan 6.3 juta pengundi yang berpeluang menjadi pemilih pada PRU-15, dengan membabitkan 1.2 juta remaja (berusia 18-21 tahun), selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas.

Oleh itu, dijangkakan 7.8 juta pengundi baharu akan bertambah kepada 14 juta, dengan kemungkinan mencecah 21.8 juta pengundi, maka ia mampu menentukan keputusan.

Di Sarawak pula jumlah terkini pemilih berdaftar yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah 1,943,074 orang, meningkat sebanyak 59.14 peratus, berbanding 1,220,960 orang yang direkodkan pada PRU-14.

Daripada jumlah itu, pemilih berumur antara 21 dan 39 tahun menjadi kategori paling ramai dengan 825,791 orang, manakala pemilih berumur 18- 20 tahun sebanyak 129,034 orang.

Oleh itu, walaupun kehadiran calon muka baharu adalah perkara biasa setiap kali pilihan raya, namun pada PRU-15, ia bukan sekadar muka baharu, tetapi muka baharu yang bukan calang-calang, yakni muka baharu yang mampu menarik pengundi baharu, dan mampu memancing pengundi di atas pagar.

Dengan jumlah pengundi yang semakin bertambah, maka pengundi di atas pagar boleh juga melakukan kejutan.

Menurut pemerhati PRU-15, kehadiran pengundi muda, bakal menjadi penentu, di sesuatu kawasan, lebih-lebih lagi di Semenanjung.

Katanya, pemilihan calon sangat penting dalam hal ini.

“Ayunan undi kali ini pasti berubah drastik, dengan apa yang berlaku selepas PRU-14, dan dengan kehadiran pengundi muda (Undi 18).

Manakala, parti yang tewas pada PRU-14 juga harus insaf, terhadap apa yang pernah mereka lakukan, dan tahu cara untuk memancing undi,” ujarnya.

“Pastikan calon yang diturunkan benar-benar berkaliber yang boleh menarik pengundi dalam keadaan politik tidak stabil sekarang ini,” kata pemerhati tersebut lagi.

Pengundi sekarang amat selektif dan akan menolak pemimpin yang tidak memenuhi kriteria yang mereka inginkan.

Oleh itu, perlu ada tapisan yang ketat. Sesebuah parti tidak lagi boleh mengehadkan pemilihan calon kepada sesama pemimpin parti sahaja, tetapi harus bersikap terbuka.

Apakah ciri-ciri pemimpin yang dimahukan rakyat?

Inilah persoalan yang sering berlegar-legar dalam kepala calon dan parti.

Pertama, keperibadian calon itu sendiri.

Ciri-ciri penting dalam kategori ini ialah integriti, terkecuali daripada rekod peribadi yang tercalar dan mempunyai akhlak serta contoh teladan kepada masyarakat.

Bagi masyarakat Islam, mereka ingin melihat pemimpin yang boleh menjadi imam, dan sering ke surau atau masjid.

Seterusnya ialah idealisme perjuangan.

Pengundi mahu pemimpin yang memiliki ciri penting termasuk menghayati perjuangan parti, konsisten dengan tanggungjawab dan sentiasa meletakkan kepentingan parti, daripada kepentingan sendiri.

Kedudukan pemimpin dalam masyarakat juga diambil kira.

Rakyat mengharapkan pemimpin yang sentiasa muncul ditengahtengah masyarakat, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan boleh menyuarakan isu-isu rakyat di dewan perwakilan.

Rakyat tidak mahu pemimpin bermusim, yang hanya muncul ketika keadaan mendesak dan memerlukan. Satu lagi aspek penting ialah komunikasi.

Rakyat mengharapkan pemimpin yang berupaya berkomunikasi tentang misi dan visi dalam bahasa yang mudah difahami rakyat, dan dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Malah rakyat juga mendambakan calon idaman berilmu pengetahuan luas dalam pelbagai isu dan berpendidikan tinggi, namun sentiasa merendah diri, dan tidak mengharapkan hamparan karpet merah.

Hakikatnya, pengundi memainkan peranan, menunaikan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya turun mengundi beramai-ramai, tetapi juga membuat keputusan secara rasional, bukannya emosional.

Suara Sarawak