Kelaziman hidup bermasyarakatan di Sarawak menjadikan perbezaan sebagai kelebihan dan mencerminkan kuatnya nilai toleransi sejak sekian lamanya.

Begitulah realitinya yang dihadapi oleh Cikgu Rubananthan Paramasveran, 35, yang mengajar di kawasan pedalaman Sarawak.

Beliau merasakan penerimaan masyarakat terhadapnya ketika mengajar di Kampung Long Terawan dan Long Panai, memberi kekuatan untuknya terus mengajar lebih 12 tahun di Baram dan bertahan sehingga hari ini.

Rubananthan Paramasveran

Sehingga siri kedua ini ditulis, Ruben tetap setia berkongsi ceritanya meskipun berada dalam perjalanan pulang menaiki bot menyusuri sungai dari sekolah bersama-sama rakan gurunya yang lain.

Penerimaan penduduk tempatan

Jelas Ruben, pendidikan anak pedalaman adalah segalanya dan dia sentiasa menasihati anak muridnya untuk terus mendalami ilmu pendidikan.

Hanya pendidikan boleh mengubah nasib kehidupan.

“Jangan pernah rasa kurang daripada anak bandar, anda tidak kurang, maka tanam impian dan teruskan usaha.

HUBUNGAN GURU ERAT… Ruben dan guru lain mengenakan pakaian melayu lama.

Adab mesti menjadi keutamaan selari dengan ketinggian ilmu.

“Kadang-kadang semua perkara jauh berbeza apabila di kawasan pedalaman, pengalaman anak di bandar dan luar bandar tidak sama, jadi apabila merangka program atau dasar untuk mereka, saya mohon agar dilibatkan sekurang-kurangnya perwakilan guru pedalaman untuk memberi sudut pandang.

“Mengajar di pedalaman, jangan fikirkan untuk tinggal di tempat lima bintang tetapi anda boleh jangkakan pengalaman berkelas lima bintang di sini,” katanya ketika dihubungi wartawan Suara Sarawak.

Tambahnya pergaulan rapat dengan komuniti setempat juga penting bagi memastikan kesinambungan dirinya di pedalaman, tidak hanya bergelar guru semata-mata.

“Jangan hadkan rangkaian sosial di sekolah sahaja, saya ambil peluang mengikuti aktiviti orang kampung dan kena ingat objektif kita ke pedalaman ialah mengajar.

“Maka mengajarlah dengan sepenuh hati, jangan buat kerja cukup-cukup makan dan jangan fikir sekiranya semua pelajar sudah pandai, kita sebagai guru tiada kerja, itu salah,”tegasnya lagi.

Dekat dengan komuniti

Ruben juga berkongsikan bahawa dia memanfaatkan masa yang ada dengan keadaan alam sekitar dan melakukan aktiviti menelusuri hutan dan mendaki bukit di belakang kampung pada waktu lapang.

“Sekiranya cuti hujung minggu, saya selalu ikut serta aktiviti orang kampung, tapi semenjak Covid-19, saya kurang ikut serta.

“Antara aktiviti disertai ialah menangkap ikan di anak sungai, tanam padi kampung, mandi di hulu sungai, tarik pukat, berkelah dan banyak lagi,” kongsinya yang turut mempunyai hobi berjalan-jalan dan mengembara tempat baharu.

GABUNGAN PAKAIAN TRADISI… Pada hari Kebangsaan tahun ini Ruben mengenakan dan mengabungkan setiap pakaian tradisional dari setiap etnik dan kaum yang ada dalam sambutan di sekolah.

Dalam pada itu, dia dan guru lain juga melakukan aktiviti projek di sekolah dengan menaik taraf sekolah bagi keselesaan pelajar.

“Kalau tiada aktiviti atau projek di sekolah, terdahulu rakan guru di SK Long Panai biasanya rajin, sentiasa ada projek untuk menaik taraf sekolah, seperti ubah suai perpustakaan sekolah.

“Memandangkan kami di sekolah kurang murid, peruntukan sekolah disalurkan selalunya berdasarkan bilangan murid, jadi kami guru keluarkan duit kami sendiri untuk melaksanakan projek seperti ini,”jelasnya.

Persediaan rapi

Perjalanan jauh dan capaian telekomunikasi diakui menjadi cabaran utama buat guru pedalaman, namun persediaan perlu dilakukan agar masalah lain tidak timbul.

“Untuk keluar dari pedalaman dan sampai ke pekan kecil Marudi mengambil masa tiga atau empat jam, kalau hendak ke Miri tambah sejam lagi mengikut keadaan jalan.

Sekiranya jalan teruk atau terputus, kami harus bermalam di hutan.

Ruben akan meluangkan masa lapangnya dengan guru-guru lain dengan mendaki bukit, berkelah dan sebagainya.

“Bagi masalah capaian telekomunikasi pula, kadang-kadang ada masanya capaian telefon hilang secara tiba-tiba, waktu seperti itu memang perlu naik bukit kawasan tinggi sekiranya ada kursus, atau perbincangan secara dalam talian.

“Kami sebagai guru pedalaman selalu risau kerana sekiranya ada kecemasan, bekalan makanan mesti dibeli untuk keperluan sebulan terus kerana kami tidak dapat selalu keluar,” katanya.

Harapan guru pedalaman

Mewakili suara guru di pedalaman, Ruben berharap agar perhubungan jalan akses komuniti di pedalaman dapat terus dinaik taraf dan infrastruktur sekolah diharap dapat terus dibantu.

“Sukatan pendidikan sekarang ini gah, tetapi tempat masih berada dalam keadaan kurang selesa.

Diberinya komputer riba, tetapi bagaimana hendak menggunakannya jika tiada capaian Internet.

“Sebenarnya banyak sekolah di kawasan Baram dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), murid di setiap sekolah sekitar 12 hingga 30 orang dan hampir semuanya berada di kawasan risiko banjir.

“Lebih baik sekiranya gabungkan semua sekolah yang ada ini dan jadikan satu sekolah berasrama penuh.

Saya yakin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah memikirkan cara ini tetapi mungkin ada isu lain yang kita tidak tahu atau sudah ada dalam perancangan,” kongsinya lagi.

Ruben turut berharap isu kekurangan guru di kawasan pedalaman dapat diselesaikan, infrastruktur sekolah perlu terus diperbaharui selain perlu diwujudkan jawatan pembantu guru bagi tugas pengkeranian.

Malah, dia turut mencadangkan agar program sarapan perlu diwujudkan semula dan jika boleh dipertimbangkan elaun alat tulis.

Semoga pembaca lebih memahami peranan guru bukan tugas mudah, apatah lagi bergelar guru pedalaman.

Seribu satu cabaran perlu dihadapi dan ia jelas mendewasakan mereka.

Ia turut memberi mereka makna sebenar bahawa dalam hidup menjadi keutamaan untuk terus bersyukur dengan nikmat yang ada di depan mata.

Suara Sarawak