Dr. Sim Bersama-sama Dato’ Sri Fadillah Yusof menyampaikan replika cek berjumlah RM1 juta kepada Pengerusi Lembaga SJK Chung Hua Batu 11.

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited menyalurkan bantuan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Jelasnya ia merupakan komitmen kerajaan dalam menghargai peranan dan sumbangan sekolah aliran Cina di Sarawak sejak sekian lama.

Malah jumlah pemberian geran khas itu telah meningkat setiap tahun sejak ia mula dilaksanakan pada 2015 semasa kepimpinan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

“Sejak era pimpinan Tok Nan pada 2015, dana untuk sekolah menengah jenis kebangsaan Cina telah mendapat dana RM3 juta dan sekarang ia berjumlah 10 juta setiap tahun.

“Bukan sahaja dana, sekarang di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita diberikan tanah supaya kita dapat menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran RM1 juta di SJK Chung Hua Batu 11, Matang.

Menurut Dr Sim, pembiayaan dana dilaksanakan dengan sistematik menerusi lembaga yang ditubuhkan.

Penyaluran dana dibuat kepada pertubuhan itu selepas diusulkan kepada Abang Johari pada 2020 seterusnya digunakan untuk membangunkan sekolah, menjalankan pelbagai program pendidikan.

“Bermula tahun pertama, kami mempunyai RM8 juta, tahun lepas RM10 juta dan tahun ini RM12 juta.

“Pembinaan semula sekolah kini adalah berdasarkan aliran tunai dan bukannya sekali gus, jadi kerajaan boleh bermula di banyak sekolah,” katanya.

Dr Sim Kui Hian bercakap semasa Majlis Penyampaian Geran RM1 juta di SJK Chung Hua Batu 11, Matang.

Suara Sarawak