SIBU: Kerusi P211 Lanang menyaksikan pertembungan ‘dua Lau’ dan ‘dua Wong’ menjadikannya pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Penyandang kerusi itu Alice Lau Kiong Yien dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) berdepan dengan Wong Ching Yong (Gabungan Parti Sarawak), Priscilla Lau (Parti Sarawak Bersatu) dan Dato Wong Tiing Kiong (Bebas).

RASMI…Teng (tengah) membuat pengumuman rasminya sambil disaksikan oleh (dari kiri) Ching Yong, Alice, Priscilla dan Tiing Kiong.

Sebagai penyandang kerusi Parlimen Lanang, Alice tiba awal di perkarangan Pusat Penamaan Calon Parlimen Lanang di SMK Methodist hari ini (Sabtu) bersama kira-kira 100 penyokongnya tepat jam 8.15 pagi.

Ching Yong kemudian menyusul kira-kira jam 8.30 pagi bersama 300 penyokongnya.

Pada jam 8.45 pagi, giliran Priscilla tiba bersama kira-kira 100 penyokongnya manakala Tiing Kiong pula tiba pada jam 8.55 pagi bersama beberapa orang penyokongnya.

Sebaik pusat penamaan calon dibuka, Alice bersama pencadangnya Peter Ha dan penyokongnya Stanley Chiew masuk ke pusat penamaan calon dan menyerahkan pencalonannya pada jam 9.02 pagi.

Kemudian Ching Yong bersama pencadangnya Datuk Dr Soon Choon Teck dan penyokongnya Dato Chieng Buong Toon menyerahkan pencalonannya pada jam 9.05 pagi.

Priscilla pula sambil ditemani pencadangnya Roger Lau dan penyokongnya Brandon Lim menyerahkan pencalonannya pada jam 9.10 pagi.

Tiing Kiong bersama pencadangnya Chong Tze Wei dan penyokongnya David Chiong menyerahkan pencalonnya pada jam 9.15 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Lanang Teng Min Min kemudian mengesahkan kesemua empat calon tersebut layak bertanding.

Mengikut urutan undian SPR, Tiing Kiong adalah calon no.1 diikuti Priscilla no.2, Alice no.3 dan Ching Yong no.4.

Setelah tiada bantahan dan pencalonan ditolak, Teng kemudian membuat pengumuman rasmi untuk mengesahkan calon tersebut akan bertanding merebut kerusi Parlimen Lanang pada PRU-15 pada jam 10.30 pagi.

Dalam tinjauan yang dibuat, kira-kira 200 polis bertugas di sekeliling dan dalam pusat penamaan calon tersebut.

Proses penamaan calon di kawasan Parlimen Lanang hari ini berjalan dengan tenang dan aman tanpa sebarang masalah.

Suara Sarawak