BERKEMPEN sudah, mengundi pun sudah. Kini, negara sedang menunggu Perdana Menteri ke-10 mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di Istana Negara — mungkin hari ini.

Setakat tengah hari kelmarin, hanya ada dua nama bakal dilantik sebagai Perdana Menteri, iaitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemudian, petang kelmarin, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam sidang media di Kuching mengumumkan GPS bersetuju untuk membentuk gabungan bersama PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Abang Johari turut memaklumkan pemilihan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sebelum itu, Parlimen Malaysia tergantung berikutan tiada mana-mana pakatan politik mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas proses pengundian PRU-15, Sabtu lepas.

PH memperoleh 82 kerusi, PN 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Warisan tiga kerusi, Bebas dua kerusi, Parti Bangsa Malaysia satu kerusi dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) satu kerusi.

Buat kali pertama berlaku dalam proses demokrasi negara Sabtu lepas, tiada parti atau pakatan parti berjaya memperoleh lebih 50 peratus kerusi Dewan Rakyat — majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Banyak nama besar politik negara turut tumbang.

Antaranya Dr Mahathir tewas di Parlimen Langkawi.

Lebih tragik Dr Mahathir hilang deposit. Pengerusi Gerakan Tanah Air ini hanya memperoleh 4,566 undi.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pula gagal mempertahan Parlimen Gua Musang.

Lebih dikenali sebagai Ku Li, beliau tewas selepas 50 tahun kejayaan gemilang dalam kerjaya politiknya.

Ini mungkin penamat cerita hebat kedua-dua veteran politik ini. Sedikit banyak menjadi cerita kurang enak, mungkin sebagai penamat tragik untuk kedua-duanya yang berpuluh-puluh tahun bersilat dalam dunia politik negara.

Sedikit mendukacitakan apabila Khairy Jamaluddin, yang begitu cemerlang menerajui beberapa kementerian terutama Kementerian Kesihatan sepanjang Covid-19, turut tersungkur di Parlimen Sungai Buloh, Selangor.

Dipindahkan dari kerusi Parlimen Rembau, ia dikatakan tindakan untuk membunuh kerjaya politik Khairy.

Di blok PH, anak Anwar iaitu Nurul Izzah pula tewas di Parlimen Permatang Pauh.

Diibarat sebagai pemimpin politik masa depan, nampaknya langkah itu sedikit terencat. Sama juga dengan Khairy, Nurul Izzah mungkin perlu menunggu lima tahun lagi — PRU16 untuk mengorak langkah untuk bertanding kerusi Parlimen.

Demokrasi subur

Sabtu lepas, lebih 70 peratus daripada 22 juta pengundi keluar untuk membuang undi.

Walaupun cuaca di kebanyakan tempat baik, beberapa kawasan pula dilanda banjir.

Namun, pengundi tetap turun mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab menyubur demokrasi negara, walaupun ada yang perlu berbaris dalam banjir, menunggu giliran membuang undi.

Seawal jam 7.30 pagi, ramai yang berduyun-duyun ke pusat mengundi.

Dapat diperhatikan juga jentera pilihan raya parti turut menyediakan motosikal dan kereta untuk mengangkut pengundi.

Tidak kira pengundi itu penyokong tegar sesebuah parti politik, ia tidak menjadi hal.

Paling utama membantu seramai mungkin rakyat yang ingin keluar mengundi.

Setelah mengetahui masih ramai yang belum keluar mengundi, penunggang motosikal dan pemandu kenderaan tadi akan pergi dari rumah ke rumah menyeru orang ramai menunaikan tanggungjawab.

Jika alasan tidak dapat mengundi disebabkan tidak dapat berjalan, mereka akan dibantu.

Jika berkerusi roda, akan ada kenderaan mengambil pengundi dari rumah.

Ini bukan lagi soal merayu undi, tetapi untuk memastikan seramai mungkin penduduk sesuatu kawasan keluar mengundi.

Peratusan keluar mengundi yang tinggi penting bagi mengesahkan lagi penyuburan amalan demokrasi di negara ini.

Media

Menyorot keseluruhan perjalanan proses PRU-15, seperkara menarik diperhatikan adalah ruang yang disediakan oleh media kepada semua calon dan parti politik yang bertanding.

Tidak seperti dahulu, media massa terutama akhbar kini turut menyubur amalam demokrasi apabila turut menyiarkan apa-apa berita daripada mana-mana parti yang bertanding. Tiada lagi istilah calon kerajaan atau calon pembangkang.

Kedua-duanya diberi ruang untuk bercakap (melalui berita) dengan pengundi di kawasan masing-masing.

Cuma, yang menjadi keutamaan media ialah tiada perkara sensitif disertakan dalam berita. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan kenyataan, tetapi ia lebih kepada berita tentang pembangunan serta perancangan untuk sesebuah kawasan yang ditandingi.

Saya sendiri yang sudah beberapa terlibat dalam liputan pilihan raya berasakan, penyuburan amalan demokrasi PRU-15 adalah yang terbaik.

Terbentuknya kerajaan

Jadi, hari ini kita mungkin akan memiliki Perdana Menteri.

Dan, kemudian kita menunggu pula pembentukan kabinet bagi meneruskan agenda pembangunan negara.

Keutamaan sekarang untuk pemulihan ekonomi negara, terutama dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi tahun depan.

Apa-apa pun, pilihan raya sudah berlalu.

Jadi, kini masa untuk bergerak ke hadapan.

Pengundi daripada mana-mana parti harus mengetepikan sengketa dan perbezaan pendapat sepanjang proses pilihan raya demi menyuburkan lagi demokrasi negara.

Tunggu lima tahun lagi jika masih ingin bersilat dalam politik.

Mungkin akan ada kejutan lagi pada PRU-16. Jadi, bermula malam tadi hingga 18 Disember depan, kita redakan suhu panas politik dengan menonton pula kejohanan bola sepak Piala Dunia di Qatar pula.

Pasukan mana pula yang akan muncul juara?

Suara Sarawak