CHING Yong, Chieng dan Sempurai menunjukkan nombor empat

SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi P.211 Lanang Wong Ching Yong berikrar untuk mendermakan gaji ahli parlimennya kepada lima sekolah persendirian Cina di sini jika beliau menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, lima sekolah itu ialah Catholic High Secondary School, Wong Nai Siong Secondary School, Guang Ming Secondary School, Citizen Middle School dan Kiong Hing Secondary School.

“Jika rakyat Lanang memilih saya sebagai Ahli Parlimen mereka, saya akan mendermakan gaji saya selama lima tahun kepada semua lima sekolah tersebut.

“Walaupun kerajaan negeri memberi jumlah yang agak besar setiap tahun kepada sekolah-sekolah ini. Tetapi saya mahu menggunakan jumlah sumbangan saya untuk kebajikan guru-guru dan kakitangan sekolah-sekolah ini,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Ching Yong berkata, beliau akan membuka akaun berasingan untuk mendepositkan gajinya dan setiap tahun sebelum ketibaan Tahun Baharu Cina beliau akan agihkannya.

“Ikrar ini adalah sebahagian daripada manifesto pilihanraya saya. Saya telah berjumpa dengan Pengerusi Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah-sekolah Cina Persendirian Sarawak Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming dan beliau menyokong penuh ikrar saya,” katanya.

Ching Yong turut menjemput penyandang kerusi Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yieng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), untuk melakukan perkara yang sama sekiranya beliau berjaya mempertahankan kerusinya pada kali ini.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai yang turut hadir pada sidang media itu berkata, cadangan projek membina Pusat Komuniti dan Kebudayaan Durin telah diluluskan pihaknya dan sangat memerlukan kemenangan Ching Yong pada PRU-15 ini.

Katanya, pusat itu dianggarkan berjumlah RM15.6 juta yang dapat dijadikan sebagai satu tarikan baharu di kawasan Durin.

Menurutnya lagi, pusat ini akan menempatkan medan selera, tamu, sudut bersosial serta dilenkapi dengan tempat parkir.

“Dengan sokongan padu penduduk Durin, ia akan melancarkan lagi cadangan ini untuk menjadi nyata dilaksanakan.

“Ini kerana apabila Ching Yong menang pada PRU-15 ini, beliau dapat membantu pihak majlis mendapatkan dana untuk tujuan tersebut,” kata beliau.

Hadir sama ialah Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek.

Suara Sarawak