KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menzahirkan terima kasih kepada Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) atas kepercayaan mencalonkan semula beliau sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Sehubungan itu, Ahmad Johnie berikrar tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pucuk kepimpinan Parti PBB untuk meneruskan agenda pembangunan yang diperjuangkan oleh Parti PBB dan GPS selama ini.

Ahmad Johnie Zawawi

“Sebagai calon Parlimen P207 Igan, saya akan memperjuangkan hak-hak Sarawak sebab semakin besar suara Parlimen GPS di Dewan Rakyat, khususnya perkara-perkara berhubung Perjanjian MA63 (MA63)

“Setelah selama satu penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Igan, banyak telah saya pelajari dalam menempuhi pelbagai rintangan dan kemelut politik yang melanda negara sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU-14,” katanya selepas diumumkan pengumuman calon GPS oleh Pengerusi GPS di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, di sini.

Dengan menaruh komitmen lebih tinggi, bersama-sama pemimpin GPS Sarawak, beliau akan terus menyuarakan hasrat dan suara rakyat Sarawak di Parlimen untuk mengembalikan hak Sarawak yang telah terhakis seperti dengan slogan ‘Sarawak Diutamakan’ yang diperjuangkan oleh GPS.

“Begitu juga dengan hasrat perjuangan Premier Sarawak yang mahu menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2030.

Kita akan terus menetapkan perjuangan ini sebagai landasan utama perjuangan pemimpin daripada Sarawak.

“Bersama-sama kita membangunkan Sarawak sebagai satu ‘Keluarga Malaysia’.

Secara peribadi, saya mendapati Premier Sarawak dengan 120 inisiatif telah meletakkan Sarawak di landasan yang betul.

“Perjuangan inilah yang harus rakyat Sarawak dukung bersama-sama. Utamakan Sarawak, Jaga Sarawak dan Intu Sarawak,” tegas beliau.

Suara Sarawak