KUCHING: Diharap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengenepikan rakyat Sarawak dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu kelak, kata Penganalisis Politik Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

Menurutnya, walaupun Sarawak dari segi teknikalnya adalah pembangkang dari sudut pandangan PH tetapi rakyat negeri ini dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya menantikan siapakah menteri dan barisan kabinet Anwar. Sebab ia akan menarik kerana ada wakil PH di Sarawak terutamanya daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Jadi adakah beliau akan melantik DAP dan mengenepikan GPS dalam konteks ini? Ia adalah perkara yang perlu diteliti oleh masyarakat Sarawak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak berkenaan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata GPS telah memanifestasikan citra sebenar sebagai gabungan yang taat setia kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan menjunjung keluhuran perlembagaan.

“Bagi saya GPS boleh sahaja untuk berdiam diri dan tidak memberi respon kepada permintaan Yang di-Pertuan Agong, tetapi gabungan itu menunjukkan hala tujunya adalah untuk kestabilan negara.

“Malah GPS juga memperlihatkan hati terbuka untuk menerima permohonan maaf daripada DAP di saat-saat terakhir. Sedangkan tiada desakan untuk pihak itu menerima permohonan maaf berkenaan. Ia jelas menampakkan ciri-ciri kesantunan,” jelasnya.

Terdahulu, DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg jika terdapat sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat negeri berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan permohonan itu dibuat ketika mengadakan pertemuan bersama Abang Johari di kediamannya di Kuching, pagi semalam.

Suara Sarawak