KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana sengaja mencederakan dua orang adik tiri perempuannya dengan menendang punggung dan menumbuk pipi mangsa.

Tertuduh Thomas Jaydie, 35, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua orang adik tiri perempuannya di sebuah rumah di Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, sekitar jam 2.40 petang, 29 Oktober lepas.

Dia didakwa menendang punggung mangsa pertama berusia 24 tahun dan menumbuk pipi kiri mangsa kedua berusia 29 tahun dalam satu kejadian.

Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak bermula dari tarikh tangkap 29 Oktober lepas.

Sementara itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap mangsa pertama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak