Gambar hiasan

KUCHING: Padah memiliki 0.15 gram methaphetamine dan terlibat dalam penyalahgunaan dadah terlarang, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sandy Yvette Freddy menjatuhkan hukuman terhadap Hariss, 29, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.15 gram di Pasar Besar Petanak, sekitar jam 11.45 pagi, 3 September lalu.

Oleh itu, dia didakwa bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 12 (3) akta sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, kerana memasukkan dadah terlarang jenis amphetamine dan methamphetamine.

Sandy menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 3 September lalu.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Suara Sarawak