KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Tertuduh Sharmeen Sulaiman mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, di sini.

Syarifah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah terlarang ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, sekitar jam 3 petang , 27 September lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak