Anwar mengimbas kad perakam waktu, sekali gus menandakan bermulanya tugas sebagai Perdana Menteri Ke-10
FOTO:Japen

SEJAK lima hari lalu, sahabat-sahabat setiap hari mengulas isu siapakah Perdana Menteri ke-10 — antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kumpulan WhatsApp.

Tiga hari pertama selepas PRU-15, lima sahabat saya, memilih Muhyiddin.

Masing-masing melontarkan pendapat bahawa mereka trauma dengan pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan apabila blok Anwar dan Tun Mahathir Mohamad menjadi peneraju Kerajaan Persekutuan. Banyak masalah yang timbul serta ketidakharmonian dihadapi ketika Kerajaan PH dan Muhyiddin merupakan calon terbaik berdasarkan komitmennya sepanjang menjadi Perdana Menteri kelapan, kata seorang sahabat yang juga pegawai kanan pendidikan.

Saya tidak menidakkan trauma rakyat Sarawak di bawah PH kerana banyak projek prasarana dibatal, namun, rakyat juga harus tahu, kelmarin yang dibayangkan sebuah kerajaan perpaduan yang inklusif dan Sarawak antara peranan besar menjayakan pembentukan kerajaan baharu.

Semasa PRU-15 dalam hampir semua edisi kempennya, sosok seorang Anwar Ibrahim sentiasa yakin bahawa beliau merupakan Perdana Menteri pilihan terbaik.

Benar kata orang, kata itu doa. Harinya tiba apabila sejak 24 tahun lalu sebaik sahaja beliau dibuang daripada kabinet Persekutuan, beliau tidak pernah tidak mengangkat bakul sendiri mendakwa beliau calon Perdana Menteri Malaysia paling layak malah lebih layak berbanding Tun Mahathir.

Beliau impikan jawatan itu biarpun berada di dalam penjara. Anwar mahu membuktikan perjalanannya dari penjara ke Putrajaya satu realiti walaupun bukan mudah.

Kata-katanya dalam setiap kempen PRU yang sering mendapat sorakan – hari ini angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, esok harga barang akan turun, hari ini saya angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, esok harga minyak turun RM1.50!

Malah Anwar pernah berjanji tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri jika dilantik menerajui kerajaan.

Anwar juga berjanji memotong separuh gaji menteri Kabinet Pakatan Harapan sekiranya diberi mandat mentadbir Putrajaya.

“Ini bukan janji, ini budaya politik baharu yang saya ingin terapkan dalam gabungan parti untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Jika ada menteri yang tidak bersetuju, sila undur diri daripada menjadi menteri.

Jadi yang nak jadi menteri, sila terima syarat saya. Kalau tidak, tak payah jadi menteri,” katanya.

Anwar berulang kali menegaskan, beliau mahu jadi Perdana Menteri yang berbeza seperti sebelum ini dengan menolak budaya korupsi, gelojoh dan tamak haloba.

“Ini permulaan hendak yakinkan rakyat. Sebab itu saya kata, saya Melayu tetapi saya tak pernah ada rasa benci, rasa hina pada mana-mana kaum kerana mereka adalah keluarga saya, anak buah saya yang saya sebagai ketua bertanggungjawab memelihara mereka.”

Kata-katanya itu dimuat turun menjadi trending Khamis di WhatsApp dan media sosial sebaik diumum sebagai Perdana Menteri dengan hastag #tunaikanjanjiPM10!

Bukan itu sahaja, rakyat turut mengingatkan Anwar mengenai apa-apa yang perlu dilakukannya pada Sarawak yang telah berperanan besar dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

Ada yang muat naik dalam status media sosial — hentikan tabur janji politik, sebaliknya bertindak lebih matang dalam membantu rakyat! Dan, di sebalik pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 juga, kelmarin rakyat Sarawak lebih tertarik dengan status Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dalam Facebook rasmi mengenai permohonan maaf beliau kepada rakyat Sarawak atas keterlanjurannya mengutuk Kerajaan Sarawak sebelum ini.

Jika ada yang terlupa, pada 2019, Guan Eng pernah mengutuk dan mendakwa Sarawak bakal bankrap dalam tempoh tiga tahun akan datang jika terus di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak. Namun kelmarin, Guan Eng membuka jiwa dan berhati mulia tunduk dan memohon maaf atas kesilapannya mengutuk Sarawak.

Anwar menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas. FOTO:Japen

“Kita terima permohonan maaf Guan Eng dengan jiwa besar, hati terbuka.

Dan, Sarawak akur dengan titah Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan,” kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media khas GPS mengenai pelantikan Perdana Menteri ke10 dan pembentukan kerajaan perpaduan di Dun Sarawak.

Jadi, rakyat Sarawak perlu terima dengan hati terbuka siapa pun dilantik sebagai Perdana Menteri tanpa perlu mengimbas kembali masa silam individu yang menerajui negara.

Rakyat Sarawak juga harus bergerak ke hadapan bagi menangani isu dan cabaran dihadapi termasuk menaruh harapan baharu pada kerajaan ini supaya mempertingkatkan keperluan pendidikan negeri ini, serta terus menghormati pelbagai bangsa dan agama kita.

Kita mengharapkan kerajaan perpaduan tertumpu kepada idea untuk menambah baik kehidupan rakyat, pembangunan dan segala idea baharu yang menjanjikan kemakmuran kepada rakyat serta merancakkan ekonomi.

Lembaran baharu sudah dibuka, kita tidak boleh nafikan peranan Anwar kerana beliau bukanlah calang-calang ahli politik walaupun sering menjadi bahan jenaka rakyat sebagai PM tepi — untuk duduk di kerusi idamannya sebagai Perdana Menteri.

Kelmarin, bukan lagi PM tepi sebaliknya, PM realiti. Rakyat harus memberinya ruang untuk kepimpinan negara dengan harapan Anwar membawa perubahan, membawa reformasi dalam setiap aspek politik, sosial, ekonomi dan kehidupan warganya.

Bak kata Guan Eng dalam Facebooknya Khamis, inilah masa depan negara, marilah kita membuat permulaan baharu untuk bekerjasama memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya serta melindungi Perlembagaan Persekutuan untuk manfaat semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Marilah kita bersama menjayakan makna perpaduan dan kerajaan baharu juga perlu mendengar rintihan rakyat yang tidak mahu mendengar cerita politik yang meloyakan.

Rakyat lebih suka kerajaan yang boleh menyantuni keperluan mereka. Rakyat sudah matang dan tahu, mana satu janji dan mimpi, mana satu realiti dan imaginasi.

Terbentuknya kerajaan perpaduan, lantikan Anwar akan membuka lembaran baharu kepada rakyat Malaysia.

Hari ini, igauan dan debaran kita sudah tamat, tiada lagi teka-teki, tiada lagi kemelut negara.

Inilah sinar harapan yang diperlukan untuk kita menuju ke depan. Ia juga memberi harapan segar kepada seluruh rakyat yang mahukan kerajaan kukuh dan stabil.

Dan, harapan sebenar rakyat mahu melihat sebuah negara yang lebih baik.

Diharap Anwar baharu dapat memikul sebuah tanggungjawab yang besar bagi berbakti dan berkhidmat kepada anak bangsa!

Suara Sarawak