Ekonomi digital resipi negeri maju, makmur
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

DASAR Ekonomi Digital merupakan langkah berani dan tepat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mencapai status Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Segalanya bermula dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa ICT, Infrastruktur dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) pada 2017.

Melalui IDECS, Kerajaan Sarawak mengenal pasti lapan inisiatif, yakni penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), penubuhan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), menambah baik infrastruktur ICT, menubuhkan Kampung Digital, mempromosikan e-Pembelajaran, mempromosikan pengehosan data dan data raya serta menganjurkan makmal ekonomi digital.

Menurut Abang Johari, inisiatif itu terbukti berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri ini melalui transformasi beberapa sektor, sekali gus berganjak daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital berasaskan teknologi pintar dalam semua sektor.

“Pada 2018, Kerajaan Sarawak menubuhkan SMA di bawah Ordinan Lembaga Multimedia Sarawak 2017, sebuah badan kawal selia untuk menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan serta pelaksanaan komunikasi, multimedia dan inisiatif ekonomi digital negeri.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, Sarawak mencapai beberapa kejayaan di bawah ekosistem ekonomi digital, antaranya inisiatif Menghubungkan Bandar dan Luar Bandar Sarawak (Saluran) bagi menyediakan liputan telekomunikasi di kawasan terpencil dan luar bandar.

“Pembinaan 600 menara komunikasi sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar (Smart) SMA yang dijangka siap dengan perkhidmatan mobiliti dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) pada 2023,” katanya.

Tambah Abang Johari, MySRBN merupakan rangkaian 4G milik negeri ini dengan rangkaian teras sedia 5G bagi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar tetap di atas 158 tapak di seluruh Sarawak untuk menghubungkan masyarakat luar bandar supaya turut serta dalam arus perdana pembangunan dan tidak tercicir daripada menikmati perkhidmatan Internet.

Ekonomi digital mencabar model tradisional dalam menjalankan perniagaan di Sarawak dan
membolehkan ahli perniagaan bergerak ke hadapan. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg • PREMIER SARAWAK

Suara Sarawak