KUCHING: Menyedari hakikat pentingnya setiap satu undi, rakyat Malaysia yang layak mengundi hari ini perlu menunaikan tanggungjawab secara bijak bagi memilih wakil rakyat masing-masing.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setiap undi adalah penting kerana ia penentu masa depan negara.

Justeru, katanya, pengundi dinasihatkan untuk mematuhi semua arahan dan langkah yang ditetapkan suruhanjaya itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan yang mengakibatkan kertas undi rosak.

“Tanda di satu pilihan sahaja, kemudian masukkan kertas undi tersebut di dalam kotak undi. Ingat kesalahan kecil pada kertas undi boleh merisikokan kertas itu ditolak,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, semua pengundi juga perlu memastikan mereka sudah mempunyai maklumat mengenai pusat mengundi, membawa kad pengenalan diri dan sihat tubuh badan.

“Individu yang dibenarkan masuk ke saluran mengundi dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi adalah orang yang namanya telah didaftarkan dalam daftar pemilih semasa,” katanya.

Menurutnya, daftar pemilih adalah dokumen yang dianggap sah dan menjadi keterangan ‘prima facie’ untuk membolehkan seseorang itu mengundi, manakala kad pengenalan atau Mykad merupakan dokumen utama diperlukan setiap pengundi.

“Adalah menjadi kesalahan besar bagi seseorang itu mengundi dalam pilihan raya sedangkan beliau tidak berhak untuk mengundi.
“Oleh itu, adalah amat mustahak akuan pengenalan pengundi disediakan dengan baik supaya pengundi yang berhak boleh menunaikan tanggungjawab mereka.

“Selain dokumen pengenalan diri dan mengetahui dengan jelas pusat mengundi serta saluran, aspek kesihatan juga perlu diberi perhatian memandangkan kita masih berdepan dengan jangkitan kes Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, bagi mereka yang mungkin mempunyai masalah kesihatan seperti demam dan sebagainya, mereka dinasihatkan membuat ujian kendiri dan jika didapati negatif sekali pun tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Suara Sarawak