“NO COMMENT”… Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof turut kelihatan (dari kiri) Datuk Aaron Ago Dagang, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Seri Richard Riot sekembali dari Istana Negara kira-kira jam 3.30 petang di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19 di Kuching

KUCHING: Empat Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi, sedang mengadakan perjumpaan dengan Premier Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot (SUPP), Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang (PRS) serta Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (PBB).

Bagaimanapun, ketika ditemui media di lobi, Kompleks DUN pada jam 3.30 petang tadi, Fadillah yang juga Ketua Whip GPS enggan mengulas lebih lanjut tujuan perjumpaan tersebut.

“Kami sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.30 pagi tadi. Selepas itu, kami terus kembali ke Kuching untuk berjumpa dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di DUN,” katanya ringkas.

Ketika ditanya hasil perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Fadillah cuma menjawab, “Tiada komen.”

Difahamkan, perjumpaan dengan Premier Sarawak itu adalah bagi melaporkan hasil pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, dilaporkan lima Ahli Parlimen GPS dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini. Mereka meninggalkan Istana Negara kira-kira sejam selepas pertemuan tersebut.

Antara ahli parlimen yang dilaporkan menghadap ialah Richard, Aaron, Fadillah Yusof dan Alexander Nanta. Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai seorang lagi wakil yang dititahkan untuk menghadap itu.

Terdahulu, Pejabat Premier Sarawak menerusi satu kenyataan menyatakan GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Katanya GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Suara Sarawak