RASMI… Julaihi menyerahkan projek bekalan air kepada wakil Ketua Kaum Kampung Metang Terap, Junai Seni. Turut kelihatan Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan, Adun Pantai Damai Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Calon GPS Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri dan lain-lain di Perasmian Projek Sawas Metang Terap, Lundu

LUNDU: Lebih 120 penduduk Kampung Matang Terap, di sini, menerima manfaat dari projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bernilai sekitar RM4.39 juta.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi menambah, ia juga turut memberi manfaat kepada penduduk di tiga buah kampung sekitar termasuk Kampung Pugu, Kampung Sekambal Melayu dan Kampung Selarat.

Menurutnya lagi, projek Sawas ini merupakan usaha berterusan yang diusahakan Kerajaan Sarawak menerusi kementerian tersebut.

“Projek ini berperanan untuk menyalurkan air terawat ke kawasan terpencil, khususnya lokasi yang tidak mempunyai jalan perhubungan serta terletak jauh dari bandaraya.

“Menerusi sistem yang diperuntukkan kerajaan negeri dan dibangunkan oleh Unimas ini, kita percaya ia dapat membekalkan air yang bersih kepada penduduk.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Kampung Metang Terap, Lundu, di sini, hari ini.

Tambahnya, projek Sawas merupakan satu yang bersifat komuniti dengan memberikan tanggungjawab kepada masyarakat setempat untuk mengendali serta menyelenggara sistem tersebut.

Bagaimanapun katanya, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tetap memantau keadaan loji tersebut dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem projek Sawas sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Suara Sarawak