KUALA LUMPUR: Enam negeri masih terjejas akibat banjir setakat 4 petang berbanding tujuh negeri pagi tadi dengan 2,701 mangsa daripada 736 keluarga direkodkan sedang berlindung di 46 pusat pemindahan sementara (PPS).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan negeri yang masih terjejas melibatkan 15 daerah di Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sarawak.

“Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga 4 petang ini terdapat empat sungai merekodkan bacaan aras air di paras bahaya iaitu Long Jegan, Long Teru dan Marudi di Miri serta Sebauh di Bintulu, Sarawak,” menurut kenyataan itu.

NADMA dalam kenyataan sama memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini juga telah mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 20 hingga 26 November depan berdasarkan analisis model-model cuaca.

“Berdasarkan analisis tersebut, penumpuan angin dijangka berlaku di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 20 hingga 24 November dan keadaan ini berpotensi menyebabkan pembentukan garis badai yang membawa bersama ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri-negeri Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2 petang tadi melaporkan tujuh lokasi terkesan kejadian banjir, enam lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan mendap dan dua lokasi terdapat kejadian jambatan rosak atau runtuh menjadikan jumlah keseluruhan adalah 17 lokasi.

Kejadian itu melibatkan dua daerah di Kedah, Perak, Johor dan Kelantan manakala masing-masing melibatkan satu daerah di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pahang yang melibatkan sembilan jalan persekutuan dan lapan jalan negeri.

Pengguna jalan raya diminta untuk sentiasa peka amaran dan rujuk maklumat bencana sebelum memulakan perjalanan. Untuk makluman dan pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR di talian 03-26107727 atau rujuk laman sesawang http://bencanaalam.jkr.gov.my atau Twitter @CSFJ_JKR.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah sehingga 7 malam.

Di Kedah melibatkan kawasan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Di Perak melibatkan kawasan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim diikuti Kelantan di Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Di Pahang, kawasan yang terlibat iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Turut terlibat Sarawak membabitkan kawasan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis) manakala di Sabah melibatkan Sandakan (Beluran) dan Kudat. – Bernama

Suara Sarawak