KUCHING: Universiti Teknologi Petronas (UTP) menganjurkan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2022 selama dua hari, pada 1 dan 2 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Timbalan Naib Canselor Akedemik UTP Profesor Ir Dr Hilmi Mukhtar berkata, kongres tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Malaysia Sawarak (UNIMAS), Multimedia University (MMU), FPT University Vietnam dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Selain itu katanya, kongres tersebut menghimpun kira-kira 500 kertas kajian dan menjangka 700 delegasi bakal hadir.

SUAI KENAL…Rombongan UTP diketuai Profesor Ir Dr Hilmi Mukhtar (tiga kiri dari dua baris hadapan) menyantuni kumpulan media dari Kuching dalam majlis makan malam ringkas, di sini malam tadi.

“Ini adalah siri ketujuh dan kami telah mengadakan lima siri sejak 2010 di KLCC, Kuala Lumpur.

“Terdapat lapan persidangan yang akan menyentuh mengenai tenaga lestari selain membincangkan mengenai bandar pintar,” katanya dalam sesi makan malam bersama media di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Dalam kongres tersebut katanya, penceramah utama turut diundang untuk membentang kajian mereka di samping terdapat forum, pembentangan kertas dan pameran.

Kongres tersebut mendapat sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Akedemi Sains Malaysia, Kerajaan Sarawak melalui Acara Perniagaan Sarawak (BES), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC) dan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT).

Suara Sarawak