KUCHING: Lebih 100 buah kedai di kawasan Jalan Nanas (berhadapan sekolah SJK Chung Hua No 4) disantuni calon Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.

Di samping beramah mesra dengan masyarakat, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Petra Jaya bersama-sama jenteranya turut mengedarkan risalah manifesto GPS untuk mendedahkan matlamat yang ingin dicapai.

Turut kelihatan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok Datuk Ibrahim Baki membantu melancarkan gerak-geri semasa berlangsungnya kempen bertemu masyarakat di kawasan tersebut.

Fadillah menyampaikan risalah GPS kepada salah seorang penduduk di kawasan Jalan Nanas

Dalam pada itu, Fadillah turut meluahkan keyakinan terhadap pengundi dalam kalangan masyarakat Cina bahawa mereka akan bersama-sama dengan GPS.

“Sokongan dan sambutan daripada masyarakat di sini pada hari ini sangat memberangsangkan.

“Kita ingin berterima kasih kepada mereka, dan saya yakin mereka akan bersama-sama dengan kita (GPS) pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Fadillah dan Ibrahim bersama-sama yang lain merakamkan gambar bersama-sama para peniaga

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas selesai program menyantuni penduduk di kawasan Jalan Nanas, di sini, hari ini.

Tambahnya, usaha bertemu dengan penduduk di kawasan ini penting untuk mendedahkan agenda yang dibawa oleh GPS dalam memastikan pembangunan berterusan Sarawak.

Suara Sarawak