KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan rakyat Sarawak kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti 41,363 undi itu berjaya meraih sebanyak 54,745 undi memintas calon Pakatan Harapan (PH) Sopian Julaihi dengan 13,382 undi dan calon SEDAR Otham Abdillah dengan 1,036 undi.

Menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Petra Jaya, beliau berikrar akan melakukan yang terbaik demi kesejahteraan di negeri ini.

“Alhamdulillah, terima kasih pengundi P.194 Petra Jaya kerana memberi mandat dan kemenangan yang besar kepada saya… Undi anda semua adalah amanah yang perlu saya pikul dengan rasa penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik demi Sarawakku Sayang,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut berterima kasih kepada rakyat Sarawak kerana telah memberi kepercayaan dan mandat besar kepada GPS.

Dengan kemenangan ini, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya telah berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya itu sejak 2004.

Suara Sarawak