KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur sekiranya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Malaysia membentuk kerajaan perpaduan bagi mentadbir negara.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, paling penting pihaknya akan mematuhi apa sahaja keputusan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau membentuk kerajaan perpaduan merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong, kita akan akur dan bersetuju,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya bila keputusan pembentukan kerajaan akan diketahui, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu beliau juga tidak mengetahui kerana di luar bidang kuasanya.

“Ia merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong. Tetapi kenyataan memberitahu bahawa Yang di-Pertuan Agong akan bermesyuarat bersama Raja-Raja Melayu dalam satu perjumpaan khas di Istana Negara, pada 10.30 pagi, Khamis.

“Jadi di situ kelak Raja-Raja akan berbincang dan juga mungkin membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan baharu,” ujarnya.

Ditanya adakah GPS mahu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sekiranya diwujudkan kerajaan perpaduan tersebut, Fadillah berkata soalan itu lebih baik ditujukan kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Setakat yang kita sudah nyatakan dalam kenyataan media sebelum ini, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan dan kita sama-sama menunggu,” ujarnya.

Sementara mengulas mengenai lima wakil GPS yang dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini, Fadillah memberitahu ia bagi memberi pandangannya tentang perlunya kerajaan perpaduan diwujudkan di negara ini.

“Dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Parlimen yang mendapat majoriti mudah serta sokongan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10, maka Seri Paduka Baginda berhasrat kalau dapat untuk semua parti duduk berbincang dan mempertimbangkan sama ada boleh ditubuhkan kerajaan perpaduan,” jelasnya.

Tambah Fadillah, dalam perbincangan tersebut beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan dan akan membawa kepada pucuk pimpinan GPS bagi perbincangan lanjut.

Terdahulu GPS dalam kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia yang terdiri daripada gabungan PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Suara Sarawak