KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana pakatan dalam membentuk kerajaan persekutuan.

Premier Sarawak itu berkata, beliau sehingga ini belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara terbabit.

“Kita tunggu, saya belum tahu keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya ketika ditemui pekarangan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Abang Johari ditemui media di pekarangan lobi DUN selepas selesai membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.

Ditanya lanjut adakah beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, beliau menjawab ringkas tidak tahu kerana menghadiri persidangan DUN.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan sebelum ini berkata, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Katanya, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Baginda bertitah berkenan untuk menerima ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

Katanya, baginda bertitah menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukkan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya lagi.

Suara Sarawak