KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil keputusan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tindakan itu juga demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan ekonomi negara kita terpelihara, maka sebuah kerajaan yang stabil dan kuat haruslah dibentuk dengan kadar yang segera.

BERCAKAP… Abang Johari bercakap pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PBB hari ini.

“Dengan itu, kita telah mengambil keputusan tiga tindakan untuk membentuk gabungan PN, BN, GPS dan GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan kukuh demi rakyat,” katanya.

Premier Sarawak itu berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya GPS juga memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke-10, dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Abang Johari menunjukkan kenyataan GPS dalam membentuk kerajaan baharu pada sidang media hari ini.

Menurutnya, gabungan itu dibentuk berasaskan kepada beberapa perkara penting termasuk untuk menegakkan keluhuran perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak dan kedaulatan undang-undang yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Di samping untuk menegakkan hak kebebasan beragama serta amalan kepelbagaian adat resam dan budaya di Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, MA63 dan Laporan IGC

“Termasuk memastikan autonomi dari segi perancangan pembangunan pendidikan dan kesihatan di negeri ini terus terpelihara.

“Ia juga termasuk perkara-perkara lain yang mempunyai kepentingan Sarawak,” jelasnya.

PRU-15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi. BN pula hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

GPS menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; GRS dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi.

Suara Sarawak