BAU: Perebutan kerusi Parlimen Mas Gading, yang menjadi antara tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sarawak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

GPS mempertaruhkan calon Parti Demokratik Progresif (PDP), Lidang Disen, 47, seorang jurutera awam dari Kampung Stenggang, Bau bagi merampas semula kerusi tradisi itu daripada calon DAP, Mordi Bimol, 37, yang memenanginya pada PRU-14.

Pada PRU-14, Mordi yang berasal dari Kampung Suba Bandar menewaskan penyandang ketika itu, Datuk Anthony Nogeh Gumbek yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti undi 3,024.

Pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anielia Siam (dua kiri) ketika mengumumkan calon bertanding bagi Parlimen Mas Gading untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 ini. Turut kelihatan (dari kanan) Mordi, Sim dan Lidang.

Manakala, PBK yang pertama kali bertanding di kerusi itu meletakkan Sim Min Leong, 43, seorang aktivis sosial dan ahli perniagaan dari Kampung Sembawang iaitu perkampungan Cina Salako, Lundu.

Ketiga-tiga calon itu disahkan bertanding oleh pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anielia Siam selepas mengemukakan borang pencalonan di pusat penamaan calon bagi Parlimen Mas Gading di Dewan Suarah Bau, sekitar jam 9 pagi hari ini.

Anielia dalam pengumumannya pada jam 12.11 tengah hari, berkata pihaknya menerima kertas pencalonan Lidang pada jam 9.02 pagi, diikuti Sim pada jam 9.08 pagi dan Mordi pada jam 9.16 pagi.

“Saya telah menyemak kertas penamaan dan berpuas hati, tiada calon ditolak kertas penamaan,” katanya.

Parlimen Mas Gading yang merupakan kawasan majoriti Bidayuh mempunyai seramai 47,171 orang pengundi.

Suara Sarawak