KUCHING: Di sebalik kedudukannya sebagai ‘kuasa penentu’ Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-15), Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesa dengan 22 kerusi dimenangi setakat keputusan diumum Suruhanjaya SPR (SPR) malam tadi.

GPS menang di Parlimen Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Puncak Borneo, Serian, Batang Sadong, Batang Lupar, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Tanjong Manis, Igan, Sarikei, Kanowit, Mukah, Selangau, Kapit, Hulu Rajang, Sibuti, Lawas, Bintulu dan Limbang.

Kemenangan kali ini lebih bergaya apabila berjaya merampas beberapa kerusi daripada pembangkang, ia termasuk Parlimen Puncak Borneo, Sarikei, Sri Aman, Selangau dan Lubok Antu.

Gabungan yang memerintah Sarawak terdiri daripada empat parti tempatan dengan parti-parti komponen terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dalam masa yang sama, komponen itu gagal merampas kerusi yang tewas pada PRU-14, masing-masing di Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Lanang, Sibu, Saratok, Julau dan Miri.

Keputusan itu agak sedikit tersasar daripada sasaran GPS yang mahu menang di kesemua 31 kerusi, bagi menguatkan lagi suara Sarawak di peringkat Parlimen.

Dalam pada itu, PRS yang bertanding di enam kerusi mencatatkan kejayaan agak cemerlang apabila memenangi lima daripadanya termasuk Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Selangau dan Hulu Rajang, hanya kalah di Julau yang diwakili Presidennya Datuk Joseph Salang Gandum.

Manakala Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bertanding di empat kerusi, tewas di Parlimen Mas Gading dan Saratok. Menang di Baram dan Bintulu.

Sementara itu, empat ‘kerusi bonus’ yang disasarkan mampu dimenangi dalam pilihan raya kali ini, masing-masing di Bandar Kuching, Stampin, Sibu dan Miri telah tewas.

Misi menawan semula ‘kerusi bonus’ berkenaan, yang digalas SUPP gagal apabila terus dikuasai parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Harapan (PH).

DAP pada PRU-145 mengekalkan penguasaan lima kerusi iaitu Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Lanang dan Sibu.

PH memenangi satu-satunya kerusi di Sarawak di Miri itu menerusi calon baharu Chiew Choon Man dengan 39,549 undi, menewaskan calon GPS Jeffery Phang 33,390 undi dan Lawrence Lai yang mendapat 5,209 undi.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian kurang memberangsangkan itu, Sarawak kekal menjadi ‘negeri penyelamat’ apabila tetap mengekalkan penguasaan 22 daripada keseluruhan 31 kerusi dipertandingkan.

Sementara itu, Datuk Larry Sng yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) seperti yang diramalkan berjaya mempertahankan kerusi Julau, begitu juga dengan Datuk Ali Biju yang mewakili Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan Parlimen Saratok.

Selain itu, kerusi Baram belum diketahui lagi susulan SPR menggantung pengundian 11 pusat mengundi di Parlimen itu susulan keadaan cuaca tidak baik dan menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke lokasi ditugaskan sama ada melalui laluan darat, udara atau air.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh baharu pengundian akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.

Untuk PRU-15 ini, Sarawak menyaksikan sebanyak 92 orang calon bertanding di 31 kerusi Parlimen seluruh negeri.

Daripada jumlah tersebut, 31 calon adalah daripada GPS yang berentap di semua kerusi Parlimen, 22 lagi calon daripada PH, Bebas (11), PSB (10), DAP (8), PN (4), Parti Bansa Dayak Sarawak (3) dan masing-masing seorang calon daripada PBM, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Kesedaran Sarawak (Sedar).

Keseluruhannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak merekodkan seramai 1,920,840 pengundi layak berdaftar pada PRU-15 ini, berbanding 1,220,960 pengundi pada PRU-14.

Proses pengundian bermula pada 7.30 pagi mulai 5.30 petang itu menyaksikan sebanyak 4,172 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri.

Suara Sarawak