Abang Johari bercakap pada sidang selepas meninjau keputusan PRU-15 bagi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis gabungan itu mampu mencapai kemenangan di 23 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya setakat ini, keputusan sah yang diperolehi menunjukkan GPS menang di 21 kerusi.

Pada masa sama, beliau yakin keputusan turut memihak kepada GPS di dua kerusi masih belum diketahui keputusan iaitu di Parlimen Baram dan Parlimen Limbang.

Di Parlimen Baram, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memutuskan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi kerana keadaan
cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak dapat
sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan
air.

Manakala di Limbang, proses pengundian sudah selesai namun peti undi tidak dapat dibawa ke pusat penjumlahan undi, juga disebabkan oleh faktor cuaca yang tidak baik.

“Secara sah tapi belum rasmi, GPS telah memenangi 21 kerusi dan kita rasakan boleh menang juga di Baram dan Limbang.

“Kalau diperhatikan, nampaknya kedua-dua kerusi itu menyebelahi GPS,” katanya pada sidang selepas meninjau keputusan PRU-15 bagi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Justeru, Premier Sarawak itu menyifatkan GPS berjaya mengembalikan lima kerusi yang hilang pada PRU-14 iaitu Puncak Borneo, Sarikei, Sri Aman, Lubok Antu dan Selangau.

“Kalau dulu (PRU-14) hanya 18 kerusi tapi sekarang bertambah, sudah tentu GPS mempunyai jumlah yang agak memuaskan dalam pilihan raya ini.

“Ini menunjukkan Sarawak mempunyai suara yang kuat dalam PRU-15,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada calon-calon GPS yang menang termasuk dua calon wanita yang juga muka baharu iaitu Rodiyah Sapiee di Parlimen Batang Sadong dan Dato Sri Doris Sophia Brodie di Parlimen Sri Aman.

Selain itu, katanya SUPP menerusi calonnya, Dato’ Sri Huang Tiong Sii turut berjaya merampas Parlimen Sarikei daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) serta mempertahankan Parlimen Serian menerusi Datuk Seri Richard Riot.

“Kami menjangkakan SUPP mampu menang lebih banyak kerusi tetapi malangnya mereka tidak dapat mencapaikan, namun masih berupaya menawan semula Sarikei,” katanya.

Manakala mengulas kekalahan calon GPS yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang di Parlimen Julau, Abang Johari berkata turut menjangkakan kemenangan di kerusi itu namun menerima hakikat Salang gagal merampas kerusi itu daripada penyandang, Larry Sng.

“Kita akan membuat analisa di setiap kerusi yang tewas,” katanya.

Bagi Parlimen Saratok pula, Abang Johari berkata menghormati keputusan pengundi di kawasan itu yang memilih penyandang Datuk Ali Biju.

Ali yang mewakili Bersatu berjaya mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) setelah hasratnya bertanding menggunakan tiket GPS ditolak.

“Memang kita letak calon di Saratok dan harap akan menang tapi itulah politik,” katanya sambil menambah kemenangan Ali mungkin atas faktor personalitinya.

Suara Sarawak