KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih memantau situasi di Kuala Lumpur (KL) sebelum menetapkan hala tujunya di peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus menentukan Perdana Menteri baharu.

Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata buat masa ini, pihaknya cuma menunggu sebarang maklumat mengenai perkembangan semasa yang berlaku di Semenanjung Malaysia itu.

“Tunggu dulu, kita tiada maklumat lanjut.

Abang Johari ketika ditemu-bual selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen GPS di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya hari ini.

“Sudah tentu kita berbincang dan memantau situasi di KL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Petra Jaya hari ini.

Ditanya mengenai intipati perjumpaannya dengan Ahli Parlimen GPS, Abang Johari yang juga Premier Sarawak enggan mendedahkan dan hanya berkata tiada apa-apa.

“Saya hanya berjumpa dengan Ahli Parlimen, pertama kali saya berjumpa dengan mereka (selepas Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya.

Pagi tadi, Pejabat Premier Sarawak menerusi satu kenyataan menyatakan GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Katanya GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada PN, BN, GPS dan GRS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara dalam perkembangan terbaharu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan berkata setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon-calon Perdana Menteri, adalah didapati bahawa tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Katanya memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah maka Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap pada jam 4.30 petang ini di Istana Negara.

Suara Sarawak